Hari ini berlangsung majlis pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Terengganu (Sidang DUN) berlangsung selama empat hari hingga Khamis.
Persidangan dibuka secara rasminya oleh Pengerusi Majli Penasihat Pemangku Raja, Tengku Seri Panglima Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.
Rakyat Terengganu memberikan tumpuan kepada sidang DUN kerana banyak kejutan berlaku sejak tiga sidang lalu.
Isu-isu seperti wang royalti, perumahan, pertanian, penempatan penduduk, lebuh raya, keruntuhan, Stadium Sultan Mizan, hakisan, pendidikan agama dan sebagainya dijangka akan terus diperdebatkan mulai esok hingga Khamis.
Sidang DUN kali dijangka akan hangat kerana masih kedengaran suara-suara yang mahu Menteri Besar di gugurkan.
Jika pada sidang April 2009 dipengaruhi isu SMS Ugut Bunuh, sidang April 2010 pula dikemelutkan dengan isu penghantaran SMS mendesak supaya Datuk Ahmad Said berundur.
Ada pemimpin PAS meramalkan pihak yang masih tidak puas hati dengan Menteri Besar -yang pernah meluahkan rasa hati mereka pada Sidang DUN lalu - pada kali ini pihak yang sama akan mengambil tindakan yang serupa.
Hakikatnya Sidang DUN Terengganu tahun lalu melalui tiga kejutan.
Kejutan pertama pada April 2009 apabila berlakunya pemboikotan dan keenggan sejumlah besar ADUN Barisan Nasional (BN) kerana kononnya menerima sms ugutan bunuh.
Laporan polis di balai polis Kuala Terengganu dibuat awal pagi hari 14 April tahun lalu gara-gara SMS yang berbunyi “baik jangan teruskan YB, YB tak sayang nyawa?” . Ia adalah satu ugutan yang serius dan dituduh dihantar oleh Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar.
Laporan polis di balai polis Kuala Terengganu, awal pagi hari ini 14 April 2009 dan kes sms itu kini sedang dalam proses perbicaraan di mahkamah Kuala Terengganu.
Kejutan seterusanya ialah ‘kebisuan sebahagian DUN BN’ pada persidangan dua hari pada 25 dan 26 Ogos 2009 yang dianggap sebagai tanda protes terhadap Ahmad Said.
Kemudian pada 22 Disember 2009 lalu, kejutan ketiga ialah apabila penyokong kerajaan khususnya beberapa ADUN BN mengemukakan pertanyaan ‘cepu emas’ kepada Menteri Besar membabitkan beberapa perkara yang menghangatkan sidang.
Persidangan DUN yang sebelum ini disifatkan agak lesu sehari sebelum itu, pada hari tersebut bertukar rancak dan sekali sekala keadaan menjadi agak panas dengan soalan yang bertubi-tubi daripada penyokong kerajaan sendiri.
Semasa sesi soal jawab hampir satu jam pada hari pertama persidangan, beberapa soalan yang diajukan kepada Menteri Besar, menyebabkan keadaan sedikit tegang dan kadangkala sindir-menyindir kedengaran dalam dewan melibatkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sendiri.
Sesi soal jawab pagi itu dimulakan dengan soalan daripada Din Adam (BN-Bukit Besi) yang mahukan penjelasan berhubung nama syarikat pengendali bijih besi di Bukit Besi dan manfaat kepada rakyat tempatan.
Menjawab soalan itu, Ahmad Said berkata kerajaan telah meluluskan pelantikan tiga syarikat untuk melakukan perlombongan bijih besi di Bukit Besi.
Pertikaman lidah turut melibatkan Alias Abdullah (BN-Alur Limbat) apabila beliau mempertikaikan jawapan yang diberikan oleh Ahmad Said mengenai peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan untuk melaksanakan projek perparitan Baruh Muring Tasek-Padang Leban-Sungai Bukit Payong.
Ketika ditemui di luar dewan, Ahmad Said berkata beliau melihat perubahan pada persidangan kali ini sebagai satu petanda baik. "Ini satu petanda baik walaupun kadang kala kita lihat cara soalan dikemukakan tidak seharusnya dilakukan oleh pihak kerajaan... seolah-olah sebagai parti pembangkang... tapi kita tidak kisah.
"Kita boleh melihat bagaimana kematangan bukan sahaja di kalangan wakil rakyat tetapi juga keintelektualan pihak kerajaan menjawab soalan. Saya tidak ada masalah," katanya.
DUN Terengganu mempunyai 24 anggota BN dan lapan daripada PAS.
Kerana itu sekali lagi diramalkan pada sidang kali ini, mungkin akan ada lagi soalan kejutan kerana masih ada beberapa ADUN yang dikatakan ‘tidak sehaluan dengan Menteri Besar’.
Malah mereka juga dilaporkan tidak menghadiri majlis precouncil yang diadakan di kediaman Menteri Besar, walaupun sudah ada perubahan terhadap beberapa ADUN di kalangan yang dikatakan ‘tidak sebulu dengan Ahmad Said’ sebelum ini.
Walaupun beberapa blog pembangkang mengatakan kumpulan yang tidak hadir pada majlis precouncil itu agak besar, hakikatnya dua daripada mereka - ADUN HUlu Besut dan ADUN Kota Putera – mempunyai sebab yang dimaklumkan kenapa tidak hadir pada majlis itu.
Difahamkan sehari sebelum itu, ADUN BN yang merupakan penyokong kerajaan bertemu dan berbincang sesame mereka di Hotel Felda bagi menghadapi sidang DUN kali ini.
Wakil-wakil rakyat PAS akan mengemukakan sekurang-kurangnya 20 soalan bertulis dan 50 soalan lisan pada sidang DUN kali ini.
Selain itu, PAS juga dijangka akan mengemukakan beberapa usul penting berkaitan kepntingan rakyat yang pelu dibincangkan segera oleh sidang DUN akan datang
Dilaporkan, sekurang-kurangnya, setiap wakil rakyat kita (PAS) akan bawa 6 soalan lisan dan 3 tiga soalan bertulis, merangkumi semua daerah dan kawasan DUN, tidak terbatas kepada DUN-DUN yang diwakili sahaja,
PAS juga berkemungkinan akan kemukakan beberapa usul penting, untuk dibahaskan.
Di pihak Menteri Besar, beliau dijangka akan memperjelaskan dasar-dasar pendidikan dan pelancongan secara lebih menjurus.
Selain itu, sempena dua tahun pentadbirannya, Ahmad Said dijangka akan mengupas dengan lebih yakin moto pentadbirannya – Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.
No comments:
Post a Comment