Friday, April 9, 2010

Felda Diminta Segera Masukkan Peneroka Baru Di Terengganu

Kerajaan Terengganu menggesa Felda supaya segera memasukkan peserta baru yang terdiri daripada rakyat tempatan di kawasan yang belum dimasukkan peneroka di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata sehingga 31 Dis 1997, sebanyak 15,132.87 hektar tanah dimajukan oleh Felda secara ladang komersial tanpa dimasukkan peneroka manakala sebanyak 2,840 tanah yang diberikan kepada agensi itu masih belum dimajukan.

"Ia masih lagi dirunding kerajaan negeri dan Felda. Kira-kira 3,000 peneroka baru terdiri daripada rakyat negeri ini boleh ditempatkan di 15,132 hektar tanah tersebut, namun sehingga kini ia masih belum dilaksanakan Felda.

"Kita harap pengambilan peserta ini boleh dilakukan segera bagi membantu membasmi kemiskinan di kalangan penduduk negeri ini," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (PAS-Ladang) pada sesi soal jawab Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-12 semalam.

Menurut beliau, Felda juga dituntut supaya menyerahkan sejumlah peratusan daripada hasil keuntungan perladangan daripada tanah yang dimajukan kepada kerajaan negeri.

"Soal pengambilan peserta dan bayaran premium tanah ini masih belum mencapai kata sepakat walaupun perbincangan sebanyak dua kali diadakan antara kedua-dua pihak," katanya.

Katanya sehingga kini Terengganu satu-satunya negeri yang tidak menerima bayaran premium daripada Felda.

"Sebelum ini Felda pernah mengeluarkan cek pembayaran premium semasa pentabiran bekas Menteri Besar Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan Datuk Seri Idris Jusoh namun ditolak kerajaan negeri. Ia ditolak kerana mahu Felda mengambil peserta baru daripada kalangan miskin tegar, ibu tunggal dan sebagainya," katanya.

Menurut beliau, tiada tanah yang diberi kepada Felda untuk dimajukan dari 1990 hingga Mac 2010 dan dalam tempat tersebut juga tiada pengambilan peneroka baru dibuat.

No comments:

Post a Comment