Thursday, April 22, 2010

Hakim Kanan Bertanggungjawab Selia Pengurusan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rendah

Hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan kini bertanggungjawab sebagai "hakim pengurusan" bagi menyelia pengurusan mahkamah tinggi dan mahkamah rendah bagi memastikan kes-kes mahkamah dapat diselesaikan dengan cepat.

Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi berkata rombakan itu perlu kerana sistem sebelum ini iaitu seorang hakim dengan tahap kekananan serupa ditugaskan untuk menyelia pengurusan mahkamah-mahkamah, terbukti tidak efektif.

"Kami mendapati ini (hakim-hakim kanan menyelia pengurusan mahkamah tinggi dan mahkamah rendah) amat efektif," kata Zaki semalam.
Beliau berkata skop tugas "hakim pengurusan" ialah memeriksa diari mahkamah, statistik, membantu pendaftar dalam menetapkan tarikh perbicaraan kes mahkamah dan menetapkan dasar dan prosedur dalam penetapan kes.

Zaki berkata sistem baru "hakim pengurusan" itu diperkenalkan awal tahun lepas, bermula di mahkamah di Kuala Lumpur dan sedang dilaksanakan di mahkamah-mahkamah di seluruh Semenanjung.

Mengenai sama ada perubahan itu merupakan campur tangan daripada mahkamah lebih tinggi, Ketua Hakim Negara yang menyangkal perkara itu menegaskan "hakim pengurusan" hanya mengendalikan aspek pengurusan mahkamah dan tidak campur tangan dengan perbicaraan atau penghakiman mahkamah.

Katanya Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria mengendalikan pengurusan mahkamah di Kelantan, Terengganu dan Pahang, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Md Raus Sharif (Mahkamah Komersil Baru (NCC) dan mahkamah di Negeri Sembilan, Melaka dan Muar).

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri James Foong Cheng Yuen (mahkamah sivil di Kuala Lumpur dan mahkamah di Pulau Pinang), Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin (mahkamah jenayah di Kuala Lumpur), Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdull Hamid Embong (mahkamah di Shah Alam dan Perak).

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali (mahkamah di Johor), Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Suriyadi Halim Omar (mahkamah di Kedah dan Perlis) dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum (mahkamah di Sabah dan Sarawak).

Zaki berkata "hakim pengurusan" akan melakukan lawatan ke kawasan seliaan masing-masing secara tetap untuk menyelesaikan sebarang kesulitan yang dihadapi pendaftar dan juga mengadakan perjumpaan dengan jawatankuasa peguam bagi membincangkan masalah yang dihadapi mereka.

No comments:

Post a Comment