Saturday, April 3, 2010

Sasaran 3.5j atau 4j pelancong ke Terengganu?

PENDAPAT…

Oleh Lokman Awang

Mana satu yang betul ni? Kerajaan sasar 4 juta pelancong atau 3.5 juta seperti disebutkan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said kelmarin?

Perbezaan bilangan 500,000 pelancong itu besar bagi Terengganu.

Pada 19 Februari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd. Adib berkata kerajaan negeri menyasarkan kedatangan pelancong ke negeri ini akan mencecah kira-kira 4 juta orang pada tahun ini.

Sebaliknya kelmarin, Ahmad Said ketika melancarkan Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu, di Dewan Gamelan, Primula Beach Resort, berkata sasaran pelancong untuk Terengganu tahun ini ialah 3.5 juta.

Atau apakah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman silap membaca teks yang disediakan?

Mungkinkah teks mengatakan 4 juta tetapi Razif membacanya 3.5 juta?

Atau Za’aba meletakkan sasaran terlalu tinggi dan Ahmad Said beranggapan 3.5 juta memadai?

Mungkin akan ada orang mengatakan apa ada pada angka tetapi dalam konteks kedatangan pelancong ia sangat penting dan ia juga adalah sasaran.

Jika menurut Za’aba, kerajaan negeri yakin faktor-faktor seperti kebimbangan penularan selesema H1N1 dan kesan kegawatan ekonomi pada tahun lepas tidak akan mempengaruhi kedatangan pelancong pada tahun ini.

Katanya, petunjuk awal mengenai peningkatan itu dapat dilihat dengan kedatangan pelancong domestik dan asing ke negeri ini sempena Tahun Baru Cina.

''Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man sahaja mencatatkan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung pada hari kedua Tahun Baru Cina," katanya.

Berucap ketika meraikan Pemenang dan Finalis Pengusaha Pelancongan Terengganu Anugerah Pelancongan Malaysia 2008/2009 di Primula Beach Resort, Za'abar berkata, sebanyak 3.3 juta pelancong domestik dan asing dicatatkan mengunjungi beberapa destinasi pelancongan di negeri itu tahun lepas.

Namun jumlah kedatangan pelancong tersebut gagal mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan negeri iaitu seramai 3.5 juta orang ekoran kebimbangan penularan H1N1 dan kesan kegawatan ekonomi.

Berikutan itu, bagi menggalakkan aktiviti pelancongan di negeri ini pada tahun ini, sebanyak RM8 juta diperuntukkan untuk menjalankan promosi dan aktiviti pelancongan.

Dalam konteks menggalakkan kedatangan pelancong ini, Ahmad Said berkata, ketika ini kerajaan negeri merupakan pelabur terbesar yang bertanggungjawab menggerakkan sektor berkenaan dan sebahagian besar hasilnya akan dinikmati oleh rakyat.

Dengan kesediaan kerajaan menerajui pembangunan sektor pelancongan di Terengganu adalah diharapkan usaha membangunkan tarikan-tarikan baru, jumlah pelancong akan terus meningkat.

Antara tarikan-tarikan baru yang bakal menjadi tumpuan pelancong ialah “Kenyir Island Hopping”, Santuari Kelah, Santuari Gajah, Pusat Tekstil, Taman Negara berhampiran Gua Bewah di mana telah dijumpai artifak, iaitu rangka manusia tertua di Malaysia berusia 16,000 tahun.

“Industri-industri kecil yang sedia ada seperti tenunan songket dan batik serta kraftangan berasaskan tembaga dan ukiran tradisional kayu, akan terus menjadi tarikan,” ujarnya.

Saya berharap perbezaan angka itu dapat diperbetulkan dengan jelas kerana sasaran kedatangan pelancong adalah penting untuk menunjukkan sejauh mana usaha kerajaan dan keberkesanan agensi pelancongan menjalankan tugas mereka.

Jika ada kesilapan di pihak lain – penyediaan maklumat atau teks umpamanya – pembetulan hendaklah segera dilakukan kerana kesilapan seperti ini kurang baik kepada semua pihak yang berhasrat memajukan pelancongan untuk Terengganu.

No comments:

Post a Comment