Tuesday, April 13, 2010

Indeks Kadar Jenayah Letak Terengganu Yang Terbaik Di Negara Ini

Penurunan indeks kadar jenayah di Terengganu sebanyak 28 peratus bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini meletakkan negeri itu sebagai yang terbaik di negara ini.

Namun, Ketua Polis negeri Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata di sebalik kejayaan itu pihaknya bimbang kerana jenayah membabitkan kegiatan penyalahgunaan dadah dan komersial semakin meningkat berbanding tahun lepas.

Dalam tempoh tiga bulan lepas, sebanyak 2,640 kes dengan tangkapan seramai 2,753 orang dicatatkan bagi kes penyalahgunaan dadah berbanding hanya 1,738 kes dengan tangkapan 1,875 orang dalam tempoh yang sama tahun lepas, DI Besut, semalam.

Angka itu kata Mohd Shukri menunjukkan peningkatan kes dadah sebanyak 902 kes atau 52 peratus, dan pertambahan tangkapan 878 orang atau 47 peratus.

Kesemua kes itu berkaitan Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah 1983, katanya.

Mengenai jenayah komersial pula, Mohd Shukri berkata sehingga akhir Mac lepas terdapat 219 kes melibatkan kerugian sebanyak RM2.145 juta berbanding tempoh yang sama tahun lepas dengan 173 kes melibatkan kerugian RM2.852 juta.

Daripada jumlah itu polis berjaya menyelesaikan 101 kes, kata beliau.

Selain itu Mohd Shukri mendedahkan pihaknya juga berdepan dengan masalah pelanggaran disiplin oleh pegawai dan anggota yang semakin meningkat.

Sepanjang tiga bulan pertama tahun ini tujuh anggotanya di Kemaman telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala tujuh anggota lagi didapati positif dadah semasa pemeriksaan rutin oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

Sehubungan itu, Mohd Shukri berkata semua ketua polis daerah telah diarah memberi penekanan serius kepada usaha-usaha menangani masalah membabitkan penyalahgunaan kuasa, rasuah, jenayah dan penyalahgunaan dadah pada peringkat dalaman tersebut.

No comments:

Post a Comment