Tuesday, April 13, 2010

Unit Perubatan Tradisional Dan Komplimentari di HSNZ dapat sambutan

Dua lagi unit Perubatan Tradisional dan Komplimentari (PTK) yang menawarkan khidmat akupunktur dan urutan tradisional akan diwujudkan masing-masing di Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar tahun ini.

Enam hospital yang menawarkan unit berkenaan ketika ini ialah Hospital Putrajaya; Hospital Sultan Ismail, Johor Baharu; Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang; Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu; Hospital Duchness of Kent, Sandakan dan Hospital Umum Kuching, Sarawak.

Pengarah Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplimentari Kementerian Kesihatan Dr Ramli Abd Ghani berkata unit yang diperkenalkan sejak 2007 di enam buah hospital kerajaan di seluruh negara itu mendapat sambutan yang menggalakkan terutama bagi pesakit strok.

"Kalau dilihat rawatan moden untuk strok tidak banyak boleh dibuat selain fisioterapi dan ubat, di unit PTK ini kami berikan pilihan kepada pesakit strok dan pesakit kronik untuk menerima rawatan akupunktur, urut atau kedua-duanya.

Beliau berkata ketika ini lima buah institusi pengajian tinggi swasta tempatan menawarkan kursus PTK diperingkat ijazah dan diploma iaitu Kolej Universiti Antarabangsa INTI, Universiti Pengurusan dan Sains (MSU), Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Universiti Tunku Abdul Rahman dan CUCMS.

"Politeknik pula tidak lama lagi akan memulakan pengajian di peringkat diploma urutan Melayu selain perubatan Melayu seperti bekam, perubatan herba, urut dan rawatan selepas bersalin," katanya.

"Kami juga memperkenalkan perubatan herba untuk kes-kes kanser di mana pesakit yang menjalani kemoterapi diberi herba untuk meningkatkan sistem ketahanan badannya dan juga mengurangkan kesan sampingan kemoterapi seperti pening, muntah dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kesembilan Majlis Perubatan Homeopathy Malaysia (MPHM) di sini pada Ahad.

Terdahulu, Dr Ramli turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS) dan MPHM yang diwakili oleh presiden masing-masing iaitu Datuk Prof Dr Abu Abdullah dan Dr(H) Mohamed Mohd Nor.

No comments:

Post a Comment