Thursday, April 22, 2010

Jus Roselle jadi minuman majlis rasmi kerajaan

Gambar oleh Zulkifli Putra


Selepas ubi gadong, kini kerajaan negeri Terengganu akan memperkenalkan pula jus roselle sebagai minuman rasmi dalam semua majlis rasmi anjurannya.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata langkah itu adalah sokongan kerajaan negeri kepada usaha memajukan tanaman itu.

Beliau berkata ia satu sumber ekonomi baru yang berpotensi dipasarkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Beliau menyatakannya pada pelancaran Produk Roselle Koptani di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), malam Jumaat (16 April 2010).

Pelancaran disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang diiringi Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.

“Kita mahu semua orang kenal dan suka minum jus roselle," katanya pada majlis itu.

Sempena majlis itu, Koptani membuat pertukaran dokumen perjanjian persefahaman (MoU) berkaitan program penyelidikan potensi industri roselle dan kajian membangunkan masyarakat tani untuk digerakkan koperasi itu bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

No comments:

Post a Comment