Thursday, April 22, 2010

Jus roselle Terengganu ke pasaran antarabangsa


Abdul Madik menerangkan sesuatu kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai pokok Roselle pada majlis itu – Gambar Zulkifli Putra.

Usahawan perindustrian tani negeri Terengganu melangkah lebih jauh apabila berjaya mengeluarkan lapan produk roselle antaranya jem, kordial, sos cili berasaskan roselle dan halwa yang mula dikenali di peringkat antarabangsa.

Berikutan kejayaan itu Koperasi Tani Lembah Bidong Terengganu Berhad (Koptani) merancang membina kilang serba moden di negeri ini yang mampu mengeluarkan 10 hingga 15 juta botol sebulan pelbagai produk berasaskan buah berjenama 'Natural Nutriton.

Ia termasuk jus durian belanda, nangka, manggis, belimbing dan rock melon selain produk roselle yang sedia ada.

Pengerusi Koptani, Abdul Madik Muda berkata demikian selepas majlis Pelancaran Produk Roselle Koptani di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), malam Jumaat (16 April 2010).

Pelancaran disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang diiringi Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.

Koptani turut menyertai Pesta Pameran Makanan Negara Teluk di Dubai, Februari lalu, berjaya menjual pelbagai produk berasaskan roselle bernilai RM3 juta dan program meluaskan pasarannya di rantau teluk giat dijalankan dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

Menteri Besar yang berucap pada pada pelancaran itu berkata, ini adalah tanda sokongan kerajaan negeri kepada Koptani.

Beliau memuji Koptani dan menganggapnya sebagai koperasi yang perlu dicontohi kerana sanggup mengambil risiko memperkenalkan produk roselle ke pasaran tempatan dan antarabangsa sehingga berjaya mengeluarkan variasi jus dan halwa berasaskan tanaman itu.

No comments:

Post a Comment