Kerajaan Terengganu diminta lebih berhati-hati dalam mengeluarkan lesen pembalakan bagi memastikan hasil maksimum dapat dikutip daripada sektor itu.
Ramlan Ali (BN-Jabi) berkata langkah kerajaan memberi konsesi balak kepada rakyat tempatan adalah baik namun ia perlu memastikan lesen berkenaan tidak dikeluarkan terlalu banyak sekaligus.
"Dengarnya banyak lesen balak yang dikeluarkan, sehingga mereka (pemegang konsesi) tercari-cari pelanggan. Pembeli pula, bila bekalan terlalu banyak, mereka boleh letak harga, jadi ini merugikan.
"Ia merugikan pemilik konsesi dan juga kerajaan," katanya ketika membahaskan usul terima kasih terhadap ucapan perasmian Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.
Ramlan juga meminta kerajaan negeri memastikan penggunaan wang kerajaan dibuat dengan berhemah dan didedahkan kepada rakyat.
"Ini kerana sudah banyak kali kita dengar komen, wakil rakyat kita banyak kali sangat buat lawatan ke luar negara, kalau boleh dedahkan berapa perbelanjaannya dan apa hasilnya," katanya.
Ramlan turut membidas pembangkang kerana cuba untuk membawa usul mengenai masalah mengenai mat rempit di negeri itu untuk dibincangkan dalam persidangan dewan.
"Semalam bawa usul royalti, hari ini bawa pula usul mat rempit, dah tahu usul itu akan ditolak. Ini akan jadi modal untuk mereka berceramah. Nanti boleh kata kerajaan negeri tak peka dengan masalah remaja dan masalah mat rempit ni. Ini semua mereka nak guna untuk naikkan imej mereka dan mencalar imej BN (Barisan Nasional)," katanya.
Usul yang dibawa Mohd Nor Hamzah (Pas-Bukit Payong) di bawah peraturan Majlis Mesyuarat Fasal 30 Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap DUN Terengganu itu bagaimanapun ditolak oleh Speaker Datuk Tengku Putera Tengku Awang.
No comments:
Post a Comment