Saturday, April 3, 2010

Pelaburan Besar Untuk Kecemerlangan Pendidikan

Menurut laporan Aida Abdul Rahman, wartawan Unit Komunikasi Negeri Terengganu yang menyertai rombongan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said ke Universiti Utara Malaysia, Sintok, baru-baru ini, bukan pelaburan besar sahaja menentukan kejayaan dan pencapaian pelajar di Terengganu.

Ia juga bergantung kepada usaha lain, termasuk pendekatan nilai tambah kerajaan negeri selain membuka ruang seluas-luasnya kepada pelajar negeri ini yang membolehkan ia mencapai kejayaan.

Malah bantuan kecil daripada Yayasan Terengganu (YT) turut menyumbang ke arah kecemerlangan pendidikan di negeri berkenaan.

Sejak dua tahun lalu, Menteri Besar Terengganu di mana-mana forum dan platform menyatakan hanya pendidikan dan pelajaran mampu mengubah nasib sesebuah keluarga di Terengganu.

Tema yang sering dibawa beliau – kalau ibu bapa penerima PPRT, anak mereka yang berpelajaran tidak akan jadi penerima PPRT lagi – untuk menyedarkan ibu bapa betapa pentingnya pendidikan.

Tanpa segan silu, Ahmad Said merujuk dirinya sebagai ‘anak tok penyadat’ yang mampu ke university dan kembali bertugas sebagai pegawai kerajaan dan kini Menteri Besar, dan apa kurangnya dengan anak Terengganu yang lain.

Kerana itu beliau begitu yakin, Terengganu mampu melahirkan ramai jurutera, doktor, juruterbang, ahli sukan berjaya, juruteknik, pakar bedah, guru-guru berkemahiran tinggi selain peniaga yang berjaya.

“Segalanya mampu dicapai melalui pendidikan,” katanya.

Berikutan itu, melalui bajet yang tinggi untuk pendidikan selain nilai tambah yang tinggi, pendidikan memberi pulangan balik dan ini dibuktikan menerusi kejayaan berganda dalam kesemua peperiksaan awam 2009 yang diumumkan sejak akhir tahun dan awal Mac lalu.

Berapakah jumlah sebenar peruntukan kerajaan Terengganu untuk pendidikan? Ia adalah kira-kira RM245 juta untuk sektor pendidikan tahun ini sebagaimana diumumkan dalam Bajet 2010 lalu.

Menteri Besar berkata jumlah besar itu meletakkan Terengganu sebagai negeri yang melabur paling tinggi untuk pendidikan berbanding negeri lain sepanjang tahun ini.

“Kita jadi negeri nombor satu memperuntukkan bajet besar untuk pendidikan..Sebanyak RM245 juta tahun ini bersama dengan (menerusi) Yayasan Terengganu. Kerajaan negeri peruntuk RM100 juta lebih, manakala Yayasan (YT) RM100 juta lebih.”

Berucap pada majlis makan malam dan penyampaian anugerah kecemerlangan anak Terengganu serta pelancaran program perantis usahawan Universiti Utara Malaysia (UUM)-Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), di Dewan Angsana, Hotel EDC, UUM, Sintok, malam 27 Mac lalu, Ahmad Said menjelaskan, Terengganu bukan hanya merangkul negeri terbaik sepanjang sembilan tahun berturut-turut dalam peperiksaan UPSR.

Terengganu juga buat tahun kedua berturut-turut cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), diikuti negeri terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malysia yang diumumkan pada 25 Februari lalu.

Terbaru, selepas membandingkan keputusan negeri lain, terbukti peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga merekodkan Terengganu sebagai negeri terbaik dan menjadikan Terengganu menguasai kesemua keempat-empat peperiksaan awam sebagai negeri terbaik.

“Pada Mei depan, kita akan buat `roadshow’ ke setiap kawasan bagi menemui kira-kira 20 ribu pelajar yang mengambil SPM terutama mereka yang berjaya termasuk berjumpa guru-guru bagi menyampaikan anugerah atas kejayaan dan kecemerlangan mereka.

“Malah, kita juga memperuntukkan bajet untuk mengiktiraf kejayaan semua pelajar ini dengan menyenaraikan nama mereka yang berjaya dalam akhbar (arus perdana) sebagai dorongan mereka dan rakan serta adik-adik yang lain melakukan kejayaan yang sama atau yang lebih baik,” kata beliau.

Turut hadir di UUM ialah isteri Menteri Besar, Toh Puan Norliza Mahmud, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera.

Hadir sama, Naib Canselor UUM, Tan Sri Dr Nordin Kardi dan Pengarah yayasan Terengganu, Haji Aziz Mamat dan Pengurus Besar YPU, Haji Azmi Razik.

Selain peruntukan besar, YT juga menyediakan peruntukan sebanyak RM5 juta setiap tahun untuk membiayai Biasiswa Kecil YT (BKYT) bagi membantu pelajar miskin yang cemerlang meneruskan pelajaran.

Selain itu, pelajar cemerlang yang tidak berjaya menerima Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) daripada Kementerian Pelajaran, turut berpeluang memohon BKYT jika menepati syarat ditetapkan YT.

Kemudahan biasiswa ini adalah membantu pelajar cemerlang di negeri ini terutama pelajar miskin untuk meneruskan pelajaran dan memberi peluang meraih kejayaan.

Kelayakan memohon BKYT turut diberikan kepada pelajar miskin yang kurang cemerlang jika individu berkenaan menepati syarat ditetapkan bagi membantu meringankan bebanan keluarga.

YT turut menyediakan peruntukan tambahan kepada sekolah pendidikan khas bagi menampung peruntukan sedia ada yang diterima daripada Kementerian Pelajaran.

Sehingga kini peruntukan tambahan yang disediakan YT terutama kepada dua sekolah pendidikan khas (pendengaran) ini adalah menyediakan menu minuman pagi kepada semua pelajar setiap hari.

Bermula tahun ini juga, YT mengambil pendekatan menyerahkan bantuan di bawah Skim Bantuan Persediaan kepada pelajar layak pada satu majlis rasmi yang akan dianjurkan di setiap daerah.

Selain bantuan YT, sebanyak RM30 juta setahun diperuntukkan untuk kelas tambahan bagi murid Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), pengiktirafan dan hadiah kecemerlangan pelajar dan sebagainya.

1 comment:

  1. Hasrat Terengganu untuk melahirkan jurutera,doktor ,juruterbang,ahli sukan berjaya,
    pakar bedah ,guru yang berkemahiran tinggi
    selain peniaga yang berjaya pastinya dapat direalisasikan.Tertarik dengan Yayasan Terengganu yang turut menyumbangkan
    ke arah kecemerlangan pendidikan di negeri ini.Amatlah berbesar hati & berterimakasih kiranya pendapat saya ini diberi perhatian &
    andai terkhilaf maaf terlebih dahulu.Golongan
    jurutera merupakan salah satu bidang tugas yang
    dihasratkan oleh Terengganu.Biasiswa & peruntukan dari YT kepada golongan yang layak adalah sumbangan yang tidak terkira nilai untuk
    pendidikan@rakyat Terengganu.Beberapa bidang pengajian di dalam & luar negara telah mendapat perhatian daripada Kerajaan Terengganu untuk
    tajaan & biasiswa.Terdapat pelbagai2 kursus kejuruteraan @ Ijazah Kejuruteraan di dalam negara.Seperti yang dimaklumkan,Ijazah Kejuruteran Sumber Mineral hanya terdapat di Kampus Kejuruteraan USM.Adalah difahamkan jumlah
    graduan yang dilahirkan dalam setahun adalah lebih kurang seramai 35orang.Setakat ini,pelajar
    yang layak meneruskan pengajian melalui Tabung
    PTPTN.Bagi pelajar tahun kedua untuk pengajian tersebut adalah difahamkan hanya dua orang dari pelajar untuk ijazah tersebut terdiri dari anak
    Terengganu ; seorang dari Besut & seorang lagi dari Kuala Terengganu.Sekiranya pengajian mereka
    melalui tajaan&biasiawa Yayasan Terengganu ,maka pada 2013 akan tercapailah golongan jurutera yang disasarkan akan lahir dari Terengganu &
    InsyaAllah akan berkhidmat untuk negeri sendiri.
    Saya pernah berhubung dengan salah seorang pegawai untuk memohon tajaan daripada YT untuk anak saya yang sekarang merupakan salah seorang
    pelajar (Kuala Terengganu) dari pengajian Ijazah
    Kejuruteraan Sumber Mineral,Tahun ke2.Namun
    memandangkan pengajian yang diikuti oleh anak
    saya tidak tersenarai di dalam pengajian yang
    mendapat tajaan@biasiswa YT maka pengajiannya adalah melalui Tabung PTPTN.InsyaAllah , jika ada rezeki untuk anak saya akan bertambahlah
    kuantiti jurutera di Terengganu Anjung Ilmu..tk.

    ReplyDelete