Thursday, April 8, 2010
Mentaliti Rakyat Punca Tandas Awam Kotor
Pelajar memenuhi tempat duduk pemerhati melihat perjalanan secara langsung Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu.
Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata sikap rakyat sendiri yang menyebabkan keadaan tandas awam di Terengganu kotor.
Beliau berkata kerajaan negeri menerusi Pihak Berkuasa Tempatan telah menyediakan peruntukan khusus berjumlah ratusan ribu ringgit setiap tahun untuk menjaga tandas awam di seluruh negeri.
Sebaliknya langkah itu tidak mendapat kerjasama rakyat untuk sama-sama memelihara kebersihan tandas.
."Sama dengan tandas di masjid yang masih lagi kotor, sehingga lampin pakai buang bayi dan tuala wanita pun mereka sumbat dalam mangkuk tandas.
"Tin minuman, puntung rokok dibaling keluar dari kereta, begitu juga rambutan, bila makan dalam kereta, biji dengan kulitnya di baling keluar ikut tingkap," katanya semasa menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ali (PAS-Sura) yang bertanyakan tentang langkah yang telah diambil oleh kerajaan negeri untuk memastikan kebersihan tandas awam di Terengganu pada persidangan Dewan Undangan negeri (DUN) ke-12 semalam.
Menteri Besar melahirkan rasa kesal dan sedih dengan mentaliti rakyat terutama orang Islam masih rendah kerana gemar mengotorkan tandas awam dan juga tandas di masjid yang menjadi tempat ramai pelawat dari luar Terengganu singgah ketika bersolat.
Beliau yang juga Pengerusi Kerajaan Tempatan berkata dua perkara yang harus ditekankan daalam aspek menjaga kebersihan tandas iaitu pengurusan dan penjagaan serta mentaliti pengguna kemudahan itu sendiri.
“Kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan yang besar untuk menyelenggara semua tandas awam peringkat daerah sebab itu ada satu dua kes terpencil seperti ini yang saya minta diberi laporan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu kalau betul tandas awam yang dijaga oleh majlis daerah ini tidak dijaga dengan sempurna,” katanya menjawab soalan tambahan dikemukakan Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam).
Abdul Wahid sebelum itu mempersoalkan kebersihan tandas awam dan merujuk rungutan seorang rakannya dari luar negara mengenai tahap kebersihan tandas awam di Penarik, Setiu yang tidak mencapai tahap BMW atau bersih, menawan dan wangi.
Ahmad Said berkata, jika hanya kerajaan memperuntukkan belanja yang khas dan mencukupi untuk kerja menjaga dan menyelenggara tandas, tetapi sikap masyarakat tidak berubah sehingga dengan mudah mengotorkan kemudahan awam itu, usaha untuk menjadikan kemudahan awam itu bersih pasti tidak berhasil.
“Kalau jaga macam mana pun, (tukang bersih) paling belakang kotor balik..tiada makna. Kita belanja ratusan ribu setahun jaga tandas, malah tiada negeri lain yang buat seperti Terengganu belanja khusus untuk menjaga tandas kecuali Terengganu,” katanya.
Beliau turut mengambil contoh apa yang pernah diperkatakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di mana banyak kejayaan sudah dicapai dalam pembangunan, tetapi pada masa yang sama masih juga gagal
“Sebab itu Tun Dr Mahathir pernah menyebut, dia boleh mengubah negara kita dari segi fizikal sebagai sebuah negara setaraf dengan negara maju..kita ada Twin Tower, hebat-hebat pembangunnanya, cerdik pandai..tetapi dari segi mentaliti oang kita masih lagi di tahap dunia ketiga,” katanya.
No comments:
Post a Comment