Saturday, April 3, 2010

Terengganu lancar direktori usahawan

Kerajaan negeri kelmarin melancarkan direktori usahawan negeri Terengganu iaitu TerengganuPages.Com bagi membantu orang ramai mendapatkan produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh mereka.

Direktori yang menyediakan perkhidmatan secara percuma itu dilancarkan dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, direktori itu diwujudkan setelah kerajaan menyedari kepentingan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta multimedia ketika ini.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri juga merancang untuk menaik taraf direktori tersebut kepada e-perdagangan kerana ia penting dalam mempromosi serta menjual produk-produk secara dalam talian.

"Selain itu, urusan jual beli juga akan dapat dibuat menerusi TerengganuPages.com ini," katanya semasa berucap pada majlis perasmian ICT dan Multimedia Terengganu 2010 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di Kuala Terengganu.

Perasmiannya dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman yang mewakili Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Turut hadir Timbalan Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU), Datuk Dr. Nor Aliah Mohd. Zahri; Pengarah Gabem, Sahlan Saruddin dan Pengurus Besar YPU, Azmi Razik.

Sehubungan itu Mohamed memberitahu, semua usahawan dan syarikat dipelawa untuk segera mendaftar di dalam direktori berkenaan mulai sekarang.

Beliau menarik perhatian, YPU dengan kerjasama Gabem turut mendahulukan perbelanjaan bagi menjayakan direktori TerengganuPages.com itu.

"Namun untuk meneruskan usaha merealisasikan e-perdagangan, usahawan memerlukan laman web sendiri yang lebih menarik dan interaktif.

"Sebanyak RM1.5 juta diperlukan bagi projek ini dengan jangkaan 3,000 usahawan akan mempunyai laman web sendiri dengan kos penyediaan laman web RM500 setiap satu," jelasnya.

No comments:

Post a Comment