Thursday, April 22, 2010

Penantian 12 tahun ditunaikan Ahmad Said


Ahmad Said (empat dari kanan) meninjau sistem perparitan di Seberang Jerteh bersama ADUN Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh baru-baru ini.

Lama sudah berjuang untuk dapatkan gelanggang tenis.

Beberapa ahli jawatankuasa Persatuan Tenis Besut ada yang bagaikan putus harapan.

Sejak 12 tahun lalu, iaitu pada ketika Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menjadi Menteri Besar lagi, ahli Persatuan Tenis Besut berusaha mendapatkan gelanggang tenis tetapi tidak berjaya.

Akibat ketiadaan gelanggang, usaha memupuk bakat baru dan menggerakkan ahli yang sudah ada sedikit tergencat.

Berikutan itu, ketika ini ahli persatuan terpaksa menumpang di gelanggang tenis Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Putera untuk latihan harian dan masalah itu menyebabkan aktiviti mereka terhad.

Tahun lalu, Sinar Harian pernah menyiarkan rayuan persatuan itu memohon gelanggang.

Namun yang mendung akhirnya cerah apabila, permohonan mereka diluluskan serta merta oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dalam pertemuan singkat di kediaman rasmi Pegawai Daerah Besut, Wan Mamat Wan Ngah, di Air Tawar minggu lalu.

Beikutan itu, Setiausaha Kehormat Persatuan, Shamsol Kamal Mohd menganggap kelulusan membina gelanggang tenis yang diberikan Menteri Besar itu dalam sejarah buat persatuan berkenaan.

Paling mengharukan, selepas hampir 12 tahun ahli jawatankuasa persatuan bertungkus-lumus memohon gelanggang tenis sendiri – melalui tiga Menteri Besar sebelum ini - namun semuanya hampa.

“Kesempatan lawatan kerja Menteri Besar ke daerah ini, mendorong ahli jawatankuasa persatuan sepakat menemui beliau sendiri secara bersemuka dan merayu agar mendapat kelulusan pembinaan gelanggang secara rasmi.

“Tanpa membuat temu janji, kami bertemu dengan beliau ((Ahmad) sebaik sahaja beliau selesai menikmati makan tengah hari di rumah pegawai daerah untuk mengemukakan surat rayuan berkenaan dan beliau melayan kami dengan mesra,” katanya.

Shamsol berkata, Ahmad Said terus menandatangani surat meluluskan pembinaan dua gelanggang berkenaan dan menyerahkan surat yang ditandatangani kepada Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, semua ahli persatuan mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Menteri Besar kerana meluluskan serta merta pembinaan gelanggang tenis selepas bertahun memperjuangkannya selama ini.

“Kini, persatuan mempunyai kira-kira 50 ahli termasuk 20 remaja dan ramai antara mereka mewakili negeri pada pertandingan tenis yang dianjurkan di negeri ini.

“Lebih menggembirakan, gelanggang tenis yang diluluskan akan dibina di kawasan eksklusif iaitu berdekatan Padang Golf Bukit Keluang yang masih dalam pembinaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment