Wednesday, April 7, 2010

Program ‘Saya Anak Terengganu’ galak belia berpesatuan

Kerajaan Negeri akan melancatkan “Program Saya Anak Terengganu” bagi menarik minat rakyat di negeri ini terutama belia dan beliawanis menyertai persatuan dan kursus tertentu.

Program antara-generasi yang melibatkan kaum lain juga turut dianjurkan di setiap daerah bagi mewujudkan kerjasama, sikap tolenrasi dan mengelak sikap perkauman.

Selain itu, kerajaan turut merangka pelbagai program yang sesuai dengan minat golongan belia tempatan bagi mengurangkan gejala sosial secara berperingkat.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata pihaknya mula serius merancang aktiviti sejak 1994, termasuk mewujudkan program Rakan Muda; Kelab Reka Cipta Reakreasi dan Sukan, Wira Usaha, Rakan Muda Mahir dan Kecerdasan.

Beliau berkata, mulai tahun lepas, kerajaan negeri turut menganjurkan kursus Dana Remaja selama tiga hari dua malam yang mensasarkan 20 peratus daripada jumlah penerima bakti remaja setiap tahun.

“Untuk pembangunan modal insan, kerajaan negeri akan berkerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mewujudkan program Mat Rempit Sifar dan Kelab Motor pada bulan Jun nanti.

“Program menjangkakan kehadiran 40,000 remaja dari seluruh negeri itu bakal dirasmikan Perdana Menteri,” katanya ketika menjawab soalan Nawi Mohamad (BN- Hulu Besut) pada persidangan DUN Terengganu kali ke 12 semalam.

Katanya, penubuhan Kelab Motor Daerah sedang berjalan dan kerajaan negeri mengharapkan golongan muda ini akan sentiasa bersama kerajaan untuk menjayakan program itu dari masa ke semasa.

Rahin berkata, Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) turut berminat menganjurkan program berilmu dengan memberi penekanan khas kepada jiwa dan rohani seseorang individu termasuk program taklif , ingat sebelum kena serta program kecemerlangan dan jati diri belia.

Pihaknya menjangkakan peruntukan RM30 juta untuk mewujudkan program khas semata-mata ingin menarik minat belia untuk menyertai persatuan.

“Melaluinya, kerajaan akan menawarkan insentif tertentu kepada golongan berkenaan termasuk mengagihkan topi keledar, jaket keselamatan dan pelbagai peralatan yang berkaitan.

“Mengharapkan bahawa penubuhan kelab motor di setiap daerah ini dapat menambah ahli persatuan yang sedia ada, pada masa sama, kita akan cuba untuk mendekati mereka mengikut daerah sebagai langkah membimbing dan mengetahui masalah,” katanya menjawab soalan tambahan Ramlan Ali (BN-Jabi).

No comments:

Post a Comment