Wednesday, April 7, 2010

RM64 juta bina 32 masjid di Terengganu

Kerajaan negeri akan membelanjakan kira-kira RM64 juta bagi pembinaan 32 buah masjid iaitu sebuah di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, pembinaan masjid baru yang dianggarkan bernilai RM2 juta sebuah itu akan dilaksanakan secepat mungkin apabila mendapat tapak yang sesuai.

Bagaimanapun katanya, projek tersebut mungkin terpaksa mengambil masa kerana menghadapi masalah bagi proses pengambilan balik tanah.

''Adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan satu masjid bagi setiap kawasan DUN terutama di kawasan yang masih belum mempunyai masjid," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Bahagian Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin.

Hadir sama Naib Yang Dipertua Perkim Kebangsaan, Profesor Emeritus Dr. Ariffin Shuhaimi dan Yang Dipertua Perkim Bahagian Negeri Terengganu, Datuk Ismail Yahya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga melalui pejabat agama turut menyediakan peruntukan bagi membaik pulih masjid uzur seperti menggantikan permaidani, lantai, atap dan dinding.

Selain itu beliau juga berharap jawatankuasa masjid yang dilantik dapat memainkan peranan masing-masing terutama untuk mengimarahkan masjid dan menjaga kebersihannya terutama tandas.

No comments:

Post a Comment