Tuesday, April 6, 2010

Terengganu Diminta Tumpu Kepada Program Basmi Kemiskinan

Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud bertitah walaupun telah banyak program basmi kemiskinan dilakukan oleh kerajaan namun masih belum menunjukkan hasil yang membanggakan.

"Sehingga 15 Mac lepas, mengikut data eKasih terdapat 1,905 ketua isi rumah di negeri ini berada dalam kategori miskin tegar, dan seramai 10,253 ketua isi rumah adalah miskin.

"Terengganu pada ketika ini berada di tempat kelima ke bawah daripada segi kemiskinan berbanding negeri-negeri lain di seluruh negara," titah Tengku Baderulzaman pada Istiadat Pembukaan Penggal Sidang Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12, di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, semalam.

Tengku Baderulzaman bertitah, untuk mencapai tujuan itu kerajaan negeri perlu menumpukan pemberian bantuan kepada golongan yang layak sahaja.

"Saya yakin dengan kerjasama semua pihak, misi untuk membasmi kemiskinan tegar sehingga sifar peratus dan kumpulan miskin kepada 2.8 peratus sebelum akhir tahun ini akan dapat dicapai," titahnya.

Selain itu, titah Tengku Baderulzaman kemudahan perumahan untuk rakyat juga perlu dijadikan agenda utama bagi memastikan rakyat mampu memiliki rumah sendiri dengan sasaran satu keluarga satu rumah menjelang tahun 2020.

"Penetapan ini bertujuan supaya setiap keluarga mempunyai tempat tinggal sendiri selain daripada menyelesaikan masalah pemastautin haram dan perancangan penempatan semula penduduk perlu dilakukan lebih tersusun dengan kemudahan infrastruktur ditingkatkan," titahnya.

Menurut Tengku Baderulzaman sehingga kini sebanyak 1,793 unit rumah kos rendah telah siap dibina dan 6,172 unit kos rendah dan mampu milik sedang dibina.

Tengku Baderulzaman bertitah pemantapan pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam akan dapat menyumbang ke arah perkembangan ekonomi secara menyeluruh.

"Penekanan hendaklah diberi untuk meningkatkan sistem jaringan pengangkutan jalan raya dan jambatan kerana kita lihat masalah kesesakan pengangkutan lalu lintas kawasan bandar menjadi semakin ketara dari sehari ke sehari," titahnya.
















Penggal Ketiga Sidang DUN Terengganu kini bermula hari selama empat hari.


Tengku Baderulzaman bertitah pembesaran dan pembukaan laluan jalan sehala menjadi satu alternatif terbaik dan rancangan kerajaan negeri melaksanakan pembinaan jejantas di atas persimpangan yang sesak perlu disegerakan.

Dalam hubungan itu titah baginda, sudah tiba masanya pembangunan dan penyusunan semula Bandaraya Kuala Terengganu diberi perhatian selaras dengan statusnya.

baginda juga mahukan kerajaan negeri memberi perhatian kepada sektor pertanian dan asas tani kerana kira-kira 90,000 orang atau 24 peratus tenaga kerja di negeri itu terlibat dalam sektor tersebut.

Titahnya sektor itu masih belum menampakkan kejayaan yang membanggakan dan sehubungan itu wajar diberi nafas baru melalui pengukuhan penggunaan teknologi, pembangunan pemprosesan dan pemasaran bagi meningkatkan taraf hidup petani, penternak dan nelayan.

Selain itu, penjawat awam di negeri tersebut juga diminta memberi penekanan kepada nilai untuk wang, manakala pembaziran, penyelewengan dan salah urus hendaklah di hapuskan daripada pengurusan awam.

Titah Tengku Baderulzaman budaya kerja yang berkualiti pasti menjana penyampaian perkhidmatan cemerlang.

No comments:

Post a Comment