Friday, April 9, 2010

Terengganu Henti Bina Hotel Taraf Rendah Di Pulau Redang

Pulau Redang, yang telah diiktiraf sebagai salah sebuah daripada 10 pulau terindah di dunia akan dijadikan sebagai destinasi pelancongan mewah.

Menurut Menteri Besar Datuk Ahmad Said, dengan kedudukan itu Pulau Redang hanya akan mengalu-alukan kedatangan pengunjung berkemampuan tinggi

Beliau berkata sehubungan itu kerajaan negeri hanya akan membenarkan pembinaan hotel yang bertaraf sekurang-kurangnya lima bintang di pulau berkenaan.

"Kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu supaya tidak lagi melaksanakan pembangunan hotel bertaraf rendah.

"Langkah ini akan membantu untuk mengawal kedatangan pengunjung yang terlalu ramai sehingga menjejaskan alam sekitar di Pulau Redang," katanya selepas persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, yang berakhir semalam.

Ahmad Said berkata alam sekitar di pulau berkenaan kini semakin terjejas ekoran kedatangan pelancong yang ramai.

"Kita juga mahu hadkan kehadiran pelancong terutama pelancong tempatan ke situ. Kalau pelancong datang terlalu ramai, ia akan turut memusnahkan karang laut yang terdapat di sana," kata beliau.

No comments:

Post a Comment