Kerajaan negeri akan mengagihkan kira-kira 500 lot kediaman Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) kepada penduduk kampung bagi mengatasi masalah kesulitan tempat tinggal di empat lokasi di Langkap, tahun ini.
Antara kawasan terbabit ialah Chalok Kedai (130 lot), Sungai Lerek (120 lot), Merbau Menyusut (120 lot) dan Kampung Bukit (120 lot).
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Asha'ari Idris berkata, sehingga kini kerajaan telah mengagihkan 70 peratus daripada jumlah lot berkenaan kepada penduduk di kawasan itu.
Menurutnya, pihaknya menjangkakan kerja-kerja pemberian lot itu kepada semua peserta yang layak dijangka selesai pada tahun ini.
"Pemberian lot kediaman ini akan dapat mengatasi masalah untuk mereka yang sebelum ini tidak mempunyai tanah untuk mendirikan rumah,'' katanya ketika ditemui semalam.
Asha'ari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap berkata, kerajaan mendapati kebanyakan penduduk kampung sebelum ini terpaksa menumpang di rumah adik beradik atau sanak-saudara masing-masing.
Justeru katanya, dengan pengagihan lot kediaman itu mereka akan dapat mendirikan rumah sendiri tanpa perlu menumpang atau menyewa rumah.
No comments:
Post a Comment