Wednesday, May 26, 2010

Ahmad Said tinjau masalah penduduk Kg Padang Limau Nipis

Cakna – Menteri Besar melawat kanak-kanak cacat yang memerlukan kerusi roda sambil diperhatikan oleh Setiausaha Politik beliau (dua dari kiri) dan Rahman. –Gambar Zulkifli Putra

Lawatan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said ke sekitar Kampung Padang Limau Nipis bukan sekadar meninjau masalah kemudahan asas.

Beliau juga meluangkan masa melawat mereka yang uzur sakit dan memerlukan bantuan perubatan.

Lawatan ke sekitar kampong diiringi Penyelaras Parlimen Marang, Senator Datuk A Rahman Bakar dan pemimpin tempatan.

Kerajaan Terengganu telah meluluskan beberapa projek kemudahan asas bagi keselesaan penduduk Taman Desa Salam di Kampung Padang Limau Nipis di sini dalam usaha menambahbaik taman perumahan berkenaan.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata beberapa kemudahan yang akan disediakan itu ialah membina sebuah surau, menurap jalan di sekitar taman berkenaan, membina pondok perhentian bas, menyediakan tempat membuang sampah dan menyediakan kemudahan lampu jalan.

"Projek surau dan lain-lain itu akan dibuat tahun ini juga manakala bagi membina sebuah dewan serbaguna dan lain-lain projek yang memerlukan perbelanjaan yang besar seperti pembinaan sistem perparitan dan padang bola, akan dimasukkan dalam bajet tahun hadapan," katanya ketika melawat penduduk Taman Desa Salam Marang, malam kelmarin.

Projek Taman Desa Salam fasa pertama itu mempunyai 500 unit rumah yang dibina pihak swasta pada 1999 semasa di bawah pentadbiran kerajaan PAS dahulu, sehingga kini masih tidak mempunyai Sijil Layak Menduduki (CF).

Ahmad berkata beliau juga merasa kesal kerana pemaju yang membina taman berkenaan tidak menyediakan kemudahan yang sepatutnya.

"Sepatutnya pemajulah menyediakan segala kemudahan itu. Saya tak faham bagaimana pentadbiran kerajaan semasa itu sehingga meluluskan projek yang tidak menyediakan kemudahan yang sepatutnya di taman ini," katanya.

Ahmad berkata setelah semua kemudahan disediakan oleh kerajaan nanti, penduduk di taman ini hendaklah membayar cukai pintu bagi membolehkan kerajaan menyediakan kemudahan dari semasa ke semasa.

Beliau juga menasihatkan penduduk supaya menjaga kebersihan dan mengawal sekitar kampung agar penduduk taman ini dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dan selesa.

No comments:

Post a Comment