Sebuah pesawat ringan jenis Diamond 40 yang dipandu seorang pelatih juruterbang bersama jurulatihnya mendarat cemas di Pantai Tok Jembal dekat sini hari ini setelah enjin pesawat itu mengalami masalah.
Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira-kira 10.45 pagi itu, pelatih berkenaan, Shafiq Haizam Mohd Kamil, 19, dan jurulatihnya yang merupakan warga Myanmar Naing Myint Khine, 46, daripada Asia Pacific Flight Training di Kota Baharu, Kelantan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Shafiq Haizam yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan berkata beliau berlepas kira-kira pukul 8.11 pagi untuk menjalani rutin latihan biasa penerbangan dari Kota Baharu ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu.
"Sampai di LTSM, kami berpatah balik ke Kota Baharu dan ketika berada di ketinggian kira-kira 3,000 meter dari paras laut di kawasan Batu Rakit, enjin pesawat tiba-tiba mati.
"Saya cuba menghidupkan semula enjin pesawat berkenaan namun gagal menyebabkan penerbangan itu diambil alih oleh jurulatih sebelum kami mendarat cemas di kawasan Pantai Tok Jembal," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) semalam.
Beliau yang telah menjalani kursus terbabit selama setahun setengah dan masih tinggal setengah tahun lagi sebelum menamatkan pengajian itu melahirkan rasa bersyukur kerana tidak mengalami sebarangan kecederaan dalam kejadian itu.
Katanya, kejadian itu yang pertama kali dialaminya semenjak mengikuti kursus tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus menamatkan latihan bagi menjadi seorang juruterbang.
Sementara itu tinjauan Bernama mendapati, pesawat ringan buatan Austria itu mendarat berhampiran dengan gigi air dan tidak mengalami sebabarang kerosakan yang serius.
Selain polis dan anggota bomba, beberapa pelatih juruterbang dan kakitangan Asia Pacific Flight Training turut kelihatan berada di tempat kejadian.
No comments:
Post a Comment