Wednesday, May 26, 2010

Anuar akan hadapi dua kejohanan berprestij

Raja Pecut Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010, Anuar Manan bersedia untuk membarisi skuad lumba basikal kebangsaan bagi menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2010.
Menurutnya, walaupun kontrak bersama sebuah kelab lumba basikal dari Korea tamat Disember ini, tetapi beliau bersedia untuk bersama skuad kebangsaan menghadapi dua kejohanan berprestij itu.

“Jika pihak Persatuan Lumba Basikal Kebangsaan menawarkan saya untuk mengharungi dua kejohanan itu, saya bersedia menghadapinya dengan bersungguh-sungguh.

“Ini sebab, pihak kelab dari Korea tidak menghalang saya untuk menyertai skuad kebangsaan bagi menghadapi dua kejohanan itu,” katanya ketika ditemui ketika hadir pada Majlis Penyampaian Cek dan Geran Tanah kepada beliau di Wisma Darul Iman minggu lalu.

Katanya, walaupun beliau kini terikat dengan Kelab dari Korea tetapi hasratnya untuk menjulang nama negara di persada antarabangsa masih membara.

“Untuk menyertai kejohanan berprestij lain mungkin tidak berpeluang kerana kelab saya juga menyertai tetapi untuk menyertai dua kejohanan itu mungkin boleh kerana saya difahamkan kelab yang saya sertai ini tidak menyertai kejohanan itu, jadi ini adalah peluang saya untuk mengharumkan nama negara,” katanya.

Anuar berkata, demi masa depan yang lebih baik, beliau bersedia untuk membarisi skuad lumba basikal negeri Terengganu yang bakal ditubuhkan Kerajaan Negeri ini.

“Setelah kontrak saya tamat pada Disember ini, saya akan memikirkan kembali untuk menandatangani kontrak bersama pasukan yang terbaik bagi mengharungi LTdL 2011, sama ada akan bersama skuad kebangsaan, skuad negeri atau skuad pro yang lain, setakat ini banyak kelab yang menawarkan untuk saya sertai tetapi belum boleh berbuat apa kerana kontrak bersama kelab lama belum tamat.

“Namun, saya gembira dengan hasrat Kerajaan Negeri menubuhkan sendiri pasukan lumba basikal negeri ini untuk menghadapi Kejohanan Lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011, jika pasukan itu dibarisi pelumba yang seangkatan saya dan ditawarkan dengan berpatutan, kemungkinan saya akan sertai pasukan negeri bagi menghadapi LTdL 2011 nanti,” katanya.

Sejak 2007 lagi, Anuar sudah banyak meraih kejayaan antaranya Jelajah Malaysia, Jelajah Azerbaijan di Iran, Jelajah Jawa Timur di Indonesia, Jelajah Cepa di Hong Kong dan jelajah Hainan di China.

“Namun, kejayaan saya di LTdL 2010 adalah yang paling gemilang kerana sebelum ini belum ada lagi pelumba basikal di negara ini yang berjaya melakukannya.

“Kemenangan itu juga menjadi pendorong kepada untuk memenangi dua kejohanan yang berprestij itu pada tahun, jika diberi peluang,” kata Anuar yang juga akan mengambil bahagian dalam Perlumbaan Lasak Singapura pertengahan bulan depan.

Atas kejayaannya di LTdl 2010, Anuar dianugerahkan sebidang tanah perumahan seluas 449 Meter Persegi dan wang Tunai RM10,000 dari Kerajaan Negeri Terengganu.
Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment