Wednesday, May 26, 2010

Teroka Segmen Baru Ekonomi

Oleh : AIDA ABD RAHMAN (UKOM)

Usahawan di negeri ini disarankan supaya meneroka segmen baru ekonomi yang diyakini boleh memberi pulangan lumayan dan tidak semata-mata bergantung kepada produk tradisi mereka.
Bagi meningkatkan daya saing dalam bidang perniagaan masing-masing, usahawan juga perlu menjadikan 4E (Expand, Explore, Execute dan Excel) atau berkembang, meneroka, bertindak dan cemerlang sebagai panduan utama.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata kerajaan negeri mengakui sumbangan usahawan bagi memajukan lagi ekonomi negeri namun peranan sektor ini perlu diperhebatkan lagi supaya percambahan dapat dilihat dan dirasai dengan lebih meluas.

“Saya ingin menyarankan supaya usahawan bergiat dalam industri berkaitan atau memiliki persamaan agar mewujudkan jaringan supaya produk dan perkhidmatan mereka menembusi pasaran baru dalam dan luar negara,” kata beliau di Majlis Perasmian Karnival Usahawan Muda Terengganu (KUMT) 2010, di Pusat Dagangan Terengganu, Kuala Terengganu, 22 Mei lalu.

Majlis disempurnakan Duli Yang Maha Mulia, Pemangku Raja Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin. Baginda diiringi Yang DiPertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja dan isteri, To’ Puan Seri Wan Hidayah Wan Ismail; Ahli MPPR, Datuk Abdul Kadir Sulaiman.

Turut berangkat, kekanda baginda, Tengku Nadhirah Zahrah Sultan Mizan Zainal Abidin.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera.

Selepas Pemangku Raja berkenan merasmikan karnival itu, majlis disusuli pula dengan penyampaian bantuan mesin jahit oleh Dato’ Mohamed kepada wakil pelatih Yayasan Tuanku Nur Zahirah.

Mohamed dalam ucapannya sebelum itu, berharap mulai tahun depan beberapa kegiatan usahawan perlu dilaksanakan bermula di peringkat sekolah rendah lagi dalam usaha meningkatkan lagi proses pembudayaan keusahawanan di kalangan pelajar.

Katanya, kerajaan melalui Yayasan Pembangunan Usahawan dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia mensasarkan lebih banyak koperasi sekolah rendah dapat dilaksanakan mulai tahun ini dan bertindak menyalurkan kepakaran dan peruntukan bagi merealisasikan hasrat itu.

“Program ini menjadi platform terbaik para usahawan bertukar pandangan dan kemahiran perniagaan yang secara tidak langsung akan berupaya meningkatkan lagi daya saing perniagaan masing-masing.

“Sehingga kini, seramai 1,756 usahawan yang majoritinya usahawan belia berusia antara 18 hingga 40 tahun menjadi ahli Sahabat Usahawan Terengganu,” katanya.

KUMT yang berlangsung dua hari berjaya menghimpunkan usahawan muda terdiri daripada 19 sekolah, tiga institusi pengajian tinggi dan 35 usahawan belia daripada majlis Belia Malaysia Terengganu, Sahabat Usahawan Terengganu dan Majlis Amanah Rakyat yang melibatkan 68 booth pameran.

No comments:

Post a Comment