Wednesday, May 5, 2010

Siri ‘runtuh’- jangan salahkan Mat Said, tanyalah BPR!

Oleh Hambali Abdul Latiff

Mahu namakan atau menjenamakan semula apa sahaja terhadap Terengganu – umpamanya ‘Darul Runtuh’ pun tidak mengapa - kalau rakyat Terengganu sendiri tidak malu menyebutnya.

Saya yang sering dituduh sebagai ‘bukan rakyat Terengganu – pun malu kalau ada orang mengatakan Terengganu sebagai ‘Darul Runtuh’. Namun, mungkin pada sesetengah orang, khususnya orang PAS mereka bangga menyebutnya kerana ia akan dijadikan modal politik.

Persoalannya, apakah ketua pentadbir – Menteri Besar, Datuk Ahmad Said – seronok mendengar Terengganu digelarkan sedemikian?

Tentunya tidak seronok, apa lagi ia juga akan memberikan kesan negatif kepada pihak lain. Apakah Yang Dipertuan Agong seronok Terengganu Darul Iman dijenamakan semula sebagai Terengganu Darul Runtuh?

Tentunya tidak!

Apabila pemimpin PAS bertalu-talu mempersendakan Terengganu sedemikian, jelas mereka melihat isu ini sebagai isu yang boleh dimainkan untuk mendapat simpati rakyat.

Kerana itu tidak pelik sekiranya Ketua Pemuda PAS Terengganu, Mohd Nor Hamzah (gambar) dalam Harakahdaily Online semalam mengatakan siri keruntuhan bangunan-bangunan di negeri Terengganu perlu dijadikan isu rakyat terhadap sikap acuh tak acuh pemimpin Umno/BN negeri.

Persoalannya benarkah dakwaan sedemikian/ Apakah Ahmad Said tidak mengambil langkah sewajarnya dalam isu-isu berkenaan?

Apakah Menteri Besar tidak mengambil berat terhadap kes-kes runtuh dan bocor seperti Pusat Akuatik, Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Stadium Tertutup, bangunan da masjid lain yang runtuh atau bocor?

Memanglah mudah pemimpin PAS menuduh bahawa wujud rasuah dan rasuah dan sikap acuh tak acuh di kalangan pimpinan Umno/BN negeri yang menyebabkan berlakunya insiden keruntuhan itu amat memalukan rakyat keseluruhannya.

Tambahnya, negeri ini dilihat sebagai antara negeri yang banyak isu politik, bermula percakaran sesama Umno, tekanan pihak kerajaan BN yang merimaskan rakyat hinggalah runtuhan bangunan yang kerap kali berlaku.

Justeru, ujarnya rata-rata rakyat Malaysia menjenamakan Terengganu sebagai ‘Darul Runtuh’.

Namun, katanya setakat mana para pemuda PAS negeri sebagai ‘orang dalam’ memanfaatkan isu itu yang perlu dinilai kembali dalam usaha menghasilkan persepsi yang sepatutnya kepada rakyat.

Persoalannya ada dua tiga perkara jika dikaitkan dengan keruntuhan ini.

Pertama, beberapa siri siasatan sudah dibuat terhadap bangunan atau apa sahaja yang runtuh, bocor atau tidak sempurna di Terengganu;

Kedua, siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga sudah dibuat seperti ditegaskan oleh SPRM; dan

Ketiga, kerajaan negeri berusaha membaikpulih segala kemudahan yang ‘menghadapi masalah’ yang membuktikan kerajaan negeri ialah sebuah kerajaan yang responsif dan bertanggungjawab.

Ahmad Said sudah sebut bahawa kerja-kerja membaikpulih bumbung stadium yang runtuh iu dijangka akan bermula segera. Kerajaan Terengganu telah mengeluarkan tender baru-baru ini dan kini menunggu keputusan lembaga tender untuk memilih kontraktor untuk kerja-kerja baikpulih SSMZA itu.

Bukankah ini tandanya kerajaan negeri bertanggungjawab dan tidak melengah-lengahkan kerja untuk membolehkan stadium digunakan semula seberapa segera.

Jadi kalau PAS mahu mengajak rakyat untuk percaya bahawa keruntuhan dan kerosakan yang berlaku akibat pemimpin UMNO acuh tidak acuh, ia ‘jauh panggang dari api’.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terenganu sudah membut kenyataan baru-baru ini bahawa pihaknya telah selesai menjalankan siasatan kejadian bumbung utama Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) yang runtuh pada 2 Jun tahun lepas.

Pengarah SPRM Terengganu Ahmad Saberi Hussin berkata kertas siasatan mengenai kejadian itu telah dihantar ke pejabat Pendakwa Raya dua minggu lepas untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian 2 Jun tahun lepas, bumbung utama stadium yang berharga RM292 juta itu runtuh setelah setahun siap dibina untuk kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) melibatkan tempat utama dan sehingga ini kerja-kerja baik pulih stadium itu masih belum dijalankan.

Mengenai runtuhan para besi tingkat empat ketika kerja-kerja pembinaan konkrit tangki air di Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pula, Ahmad berkata SPRM tidak melakukan siasatan berhubung kejadian itu.

Hakikatnya, Ahmad Said sendiri pun rimas dengan kejadian-kejadian yang berlaku di Terengganu dan beliau sudah acap kali menyatakan biarlah BPR melakukan siasatan.

Sebenarnya jika ada pendakwaan, Ahmad Said juga akan turut lega kerana mereka yang bersalah wajar dihadapkan ke muka pengadilan.

Lagipun, jika SPRM mula mendakwa mereka yang disyaki melakukan rasuah atau ada penyelewengan, kerajaan negeri akan dilihat telus.

Namun jika SPRM lambat atau berhati-hati, siapa mahu disalahkan?

Apakah wajar menuduh Ahmad Said yang sengaja melambat-lambatkan pendakwaan berkenaan?

PAS perlulah menerima realiti bahawa mudah mempersalahkan orang lain atau mempersoalkan niat pemimpin UMNO tetapi terimalah juga usaha baik yang dilakukan pentadbiran negeri.

Rakyat Terengganu pun tidak bodh sangat dan mereka juga berasa malu untuk menamakan semua Terengganu Darul Iman dengn Darul Runtuh.

Mereka juga berdoa supaya mereka yang bertanggungjawab - sudah pasti bukan Ahmad Said – dibawa ke pengadilan.

Jadi adilkah PAS mahu mempengaruhi rakyat untuk membenci pentadbiran Menteri Besar sekarang bagi tujuan mendapat sokongan dalam pilihan raya akan datang?

No comments:

Post a Comment