Program 'bulan madu kali kedua' kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) sejak diperkenalkan Januari lalu akan diteruskan sekali gus dijadikan program bulanan bagi memulihkan 'hubungan' suami isteri di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Asha'ari Idris berkata, langkah itu dibuat berdasarkan sambutan menggalakkan para peserta.
Beliau memberitahu, setakat ini, sebanyak 13 pasangan suami isteri, kebanyakannya usia perkahwinan mereka lima tahun ke bawah menyertai program tersebut setiap bulan sejak Januari lalu yang berlangsung di Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Kapas.
Menurutnya, jika mendapat sambutan menggalakkan, YPKT akan menambah penyertaan bilangan pasangan suami isteri kepada 20 pasangan pada masa akan datang.
"Setakat ini, empat program seumpama itu telah dianjurkan iaitu dua program di Pulau Perhentian manakala Pulau Kapas dan Pulau Redang masing-masing satu program dengan setiap program berlangsung selama tiga hari dua malam.
"Kita terima respons yang sangat baik daripada peserta dan program ini untuk memantapkan lagi hubungan suami isteri dalam sesebuah rumah tangga, lebih kepada usaha untuk memulihkan 'hubungan panas' suami isteri," ujarnya.
Beliau menyatakan perkara itu ketika ditemui selepas mengadakan mesyuarat dengan pengurusan YPKT di pejabatnya di sini hari ini. Hadir sama, Pengarah YPKT, Mohd. Shafaruddin Mustaffa.
Asha'ari berkata, buat masa ini, pihak penganjur hanya memberi keutamaan kepada pasangan suami isteri beragama Islam memandangkan pengisian program tersebut mempunyai kaitan dengan tuntutan Islam.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan kemungkinan program 'bulan madu kali kedua' itu juga akan disertai pasangan suami isteri beragama lain sekiranya ada keperluan kelak.
No comments:
Post a Comment