Friday, May 7, 2010

ECERDC promosikan Tanjung Bidara, IDBX, Taman Ilmu di Teluk

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan mengadakan misi pelaburan untuk menarik pelabur dari Teluk serta meningkatkan hubungan perniagaan dua hala antara Malaysia dan negara-negara Timur Tengah.

Misi berkenaan yang bermula pada 7 hingga 17 Mei ini, akan diketuai oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan agendanya termasuk siri pertemuan perniagaan dengan bakal pelabur yang telah dikenal pasti dari rantau Teluk.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ECERDC, Datuk Jebasingham Issace John berkata mereka akan menawarkan pakej bersepadu kepada pelabur dari rantau Teluk yang akan termasuk insentif bukan fiskal dan fiskal yang menarik, sumber asli yang banyak, infrastruktur yang baik dan bekalan modal insan yang tersedia.

"Kami menyasar untuk menarik pelaburan bernilai RM30 bilion di rantau berkenaan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), itulah sebabnya bagi tahun ini, ECERDC mengambil langkah strategik mempromosikan ECER secara agresif sebagai destinasi pelaburan pilihan.

"Bagi pihak kami, beberapa projek utama telah dikenal pasti di bawah pelbagai sektor termasuk sektor pelancongan, minyak dan gas serta petrokimia, sektor pembuatan, pertanian dan juga pendidikan dan sektor ICT," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.
Antara projek pelancongan utama yang dijangka diketengahkan ialah projek pelancongan di Pantai Sepat, projek pelancongan pantai di Cherating di Pahang dan projek pelancongan pantai di Tanjung Bidara di Terengganu.

Di bawah sektor minyak, gas dan petrokimia, projek-projek yang menjadi tumpuan ialah taman polimer Kertih dan Kompleks Industri Petroleum Petronas (PPIC) di Terengganu, Kompleks Petrokimia Bersepadu Gebeng (GIPC) di Pahang dan Taman Perindustrian Maritim di selatan Kuantan dan minyak dan gas Tanjung Agas.

Antara projek pembuatan yang akan dipromosikan ialah Taman Perindustrian Automotif Pekan-Peramu, Taman Halal Gambang dan Kluster Perindustrian Minyak Sawit di Pahang serta Taman Halal Pasir Mas di Kelantan.

Bagi projek pertanian pula, Taman Pengeluaran Ternakan dan Taman Bioteknologi dan Herba masing-masing di Kelantan dan Pahang serta projek pengeluaran ternakan di Terengganu dan Pahang, serta Perladangan Nanas Bersepadu Rompin di Pahang.

Dalam sektor teknologi komunikasi maklumat, tumpuan adalah pada Taman Ilmu, The International Digital Business Exchange (IDBX) dan Pusat Animasi Global, kesemuanya di Terengganu.

Bidang utama untuk pelaburan lain ialah perniagaan halal, kata Jebasingham. Pasaran bernilai kira-kira AS$2.1 trilion setahun dengan Majlis Kerjasama Teluk mengimport hampir AS$44 bilion nilai produk halal.

No comments:

Post a Comment