Friday, May 7, 2010

Kerja-Kerja Awal Empangan Hidroelektrik Kedua Sedang Berjalan

Kerja-kerja awal pembinaan empangan hidroelektrik kedua di Tasik Kenyir bertempat di Sungai Tembat dan Sungai Puah, Hulu Terengganu sudah dimulakan.

Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu Md Yuslan Md Yusof berkata kerja-kerja pembersihan tapak seperti penebangan hutan dengan kerjasama Jabatan Hutan sudah bermula sejak awal tahun ini.

"Pembinaan empangan hidroelektrik yang ketiga di Terengganu dengan kapasiti 250 megawatt itu dijangka siap pada 2014," katanya tanpa mendedahkan kos dan keluasan keseluruhan projek berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Baiti Jannati (Rumahku Syurgaku) TNB peringkat negeri Terengganu di rumah Zainol Salleh, 56, semalam.

Terengganu ketika ini mempunyai dua buah stesen janakuasa hidroelektrik Sultan Ismail di Paka yang mampu mengeluarkan tenaga dengan kapasiti 1,200 megawatt dan Ampangan Hidroelektrik Sultan Mahmud Tasik Kenyir dengan kemampuan 400 megawatt.

Mengenai projek Baiti Jannati, Md Yuslan berkata aktiviti tanggungjawab sosial korporat TNB yang dimulakan sejak 2007, sehingga kini berjaya membaiki 65 buah rumah orang miskin di seluruh negara, dengan 11 daripadanya di Terengganu.

No comments:

Post a Comment