Saturday, May 29, 2010

Felcra peruntukan RM7.2j bina 353 rumah di Besut

Besut bakal mendapat peruntukan RM7.2 juta daripada Felcra Berhad bagi pembinaan 353 unit rumah yang akan dilaksanakan di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) sepanjang tahun ini.

Ia membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera sebanyak 99 unit, Jertih (95 unit), Hulu Besut (62 unit) Kuala Besut (53 unit) dan Jabi 44 unit.

Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, Felcra Berhad meningkatkan usaha membantu golongan miskin yang tidak mempunyai kediaman dengan memberi keutamaan kepada pelaksanaan PBR di seluruh negara.

Menurut beliau, program PBR memberi tumpuan kepada rakyat miskin termasuk di negeri dikuasai pembangkang seperti Perak, Kedah dan Kelantan selain Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Katanya, menerusi PBR, Felcra memperuntukkan RM46.2 juta bagi membina 996 projek baru dan 877 baik pulih rumah penduduk miskin di negeri terbabit sepanjang tahun ini.

“Program pembinaan rumah yang dilaksanakan agensi ini mengikut garis panduan dikeluarkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bertujuan menaik taraf kualiti hidup keluarga golongan miskin tegar dengan menyediakan tempat kediaman sempurna dan selesa.

“Skop bantuan rumah adalah mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan kawasan yang sudah diputuskan kerajaan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil rakyat kawasan Besut, di Bukit Ke-luang Beach Resort kelmarin.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof.

No comments:

Post a Comment