Oleh Jamhariah Jaafar (Berita Harian)
Pulau peranginan, Pulau Redang, mula mengotakan janji untuk menjadi destinasi pelancongan dunia yang lebih damai, dengan pelaksanaan projek lebih konkrit yang boleh mengurangkan isu serta permasalahan pencemaran yang dialami selama ini.
Isu sampah, pengangkutan bagasi yang tidak mesra pelancong, sistem kumbahan tidak terancang, kebanjiran pelancongan melampau dan kekurangan perancangan strategik untuk memulihara khazanah laut Redang kini semakin mendapat perhatian pihak berkuasa dalam memastikan Redang terus menduduki senarai antara 10 pulau peranginan terbaik dunia.
Selepas mengikuti lawatan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Terengganu, Datuk Zaabar Mohd Adib, pihak berkuasa dengan kerjasama baik daripada penguasa pusat peranginan Pulau Redang nyata insaf terhadap pelbagai isu dan masalah yang dilontar setiap pengunjung terutama pencinta alam setiap kali mereka ke pulau indah ini.
Terperangkap antara impian untuk mengaut keuntungan maksimum dengan tanggungjawab memulihara khazanah alam yang menjadi aset mereka, pihak berkuasa dan pengusaha pusat peranginan kini bekerjasama untuk memastikan keindahan kebanggaan Terengganu dan Malaysia ini terus kekal - dengan menggariskan formula lebih mantap untuk menseimbangkan antara pelancongan dan usaha pemuliharaan.
“Kita tahu perasaan pelancong terutama pencinta alam apabila melihat pusat pelancongan seperti ini dibanjiri begitu ramai pengunjung, pembangunan tidak terancang dan program pemuliharaan yang tidak nampak di mata.
“Kerajaan Terengganu mengambil serius semua pendapat dan aduan pencinta alam, kerana itu kami secara agresif memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki bekalan air bersih dari tanah besar, membina sistem pembetung, pengangkutan bagasi yang lebih baik, serta usaha untuk mengurangkan jumlah pelancong yang ketika ini mencapai sehingga 200,000 setahun,” katanya ketika ditemui sempena program Cabaran Fotografi Dasar Laut dan Pulau Redang (RUC), anjuran Coral Malaysia, baru-baru ini.
Dengan peruntukan lebih RM10 juta, program bekalan air bersih ke Pulau Redang dijangka siap menjelang September nanti, dengan tumpuan bekalan utama kepada kawasan Teluk Kalong dan Pasir Panjang, sehingga 2020.
Antara kemudahan disediakan untuk program ini ialah sebuah tangki sedutan, dua tangki servis berkapasiti 900,000 gelen serta kerja memasang paip terus dari Penarik di tanah besar.
Bagi projek pembinaan laluan sepanjang 1.5 meter memberi kemudahan kepada pengusaha chalet untuk mengangkut penumpang dan bagasi dari Jeti Teluk Bakau, yang sekali gus boleh menghapuskan kenderaan berat seperti traktor untuk mengangkut bagasi di kawasan pantai.
“Mungkin ini adalah laluan bertingkat pertama di pulau peranginan dan kami mendapati ini adalah cara terbaik untuk mengelak pengusaha chalet menggunakan traktor atau kenderaan berat lain untuk mengangkut bagasi penumpang di tepi pantai.
“Projek ini penting kerana ia boleh mengurangkan kadar kemalangan membabitkan pelancong dan pengusaha bot, mengekang limpahan diesel ke dalam laut dan mengurangkan bot memasuki kawasan pantai.
“Ketika ini laluan itu sudah siap 60 peratus dan dijangka siap sepenuhnya September ini. Penduduk Kuala Terengganu pun mungkin marah sebab bandar raya itu belum lagi ada laluan bertingkat, Pulau Redang pula sudah ada,” kata Zaabar berjenaka mengenai projek bernilai RM4.6 juta ini.
Bagi projek pembetungan pula, Pulau Redang dijadikan perintis kepada sistem kumbahan yang boleh merawat air dan mengalirkan semula air bersih ke laut.
Zaabar berkata, sekiranya projek bernilai RM2.5 juta ini boleh digunakan dalam masa dua tiga bulan lagi berjaya di Redang, kerajaan negeri akan meluaskan sistem yang sama ke pulau peranginan lain.
Isu pungutan sampah antara paling serius dihadapi majoriti pulau peranginan dan Redang tidak terkecuali.
Walaupun tiada penyelesaian terbaik selain daripada menyediakan ponton lebih besar, sistem pungutan yang lebih sistematik, kerajaan negeri Terengganu masih mencari formula terbaik untuk menyelesaikan isu yang boleh menjejaskan nama baik kepulauan zamrud ini.
“Kami masih memikirkan cara terbaik untuk mengendalikan sistem pungutan sampah ini. Ada antara cadangan membina insinerator, tetapi didapati ia tidak realistik bagi sampah jenis basah. Jadi buat masa ini, kita akan memperbaiki sistem pungutan sedia ada,” katanya yang melihat sendiri sampah belum dikutip yang menimbul bau amat tidak menyenangkan.
Semua projek ini adalah nilai tambah kepada usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan kualiti pelancongan di Pulau Redang, di samping mengurangkan kebanjiran pelancong kepada kira-kira 160,000 orang bagi membolehkan keindahan dan khazanah laut pulau kecil ini terus dapat dipulihara dengan lebih baik.
Zaabar berkata, limpahan pelancong sejak lebih 10 tahun lalu memberi kesan besar kepada kandungan marin serta daratan dan sekiranya tidak dihadkan, akan memberi padah yang tidak mampu ditebus semula generasi masa depan.
“Keputusan mengurangkan jumlah pelancong dengan meningkatkan mutu perkhidmatan memberi faedah besar bagi jangka panjang. Di samping pengunjung dapat menikmati kemudahan lebih baik dengan harga yang lebih sedikit, khazanah alam juga boleh dipulihara dengan sistem pemuliharaan lebih sistematik.
“Antara cadangan pencinta laut ialah bergilir menutup tapak selaman atau snorkelling amat baik, kerana kita memberikan tapak ini ‘bernafas’.
“Kita mahu Redang terus kekal sebagai destinasi pulau pelancongan dunia dan saya yakin usaha kerajaan negeri untuk memulihara pulau ini dengan memperbaiki sistem pemuliharaan dan perkhidmatan akan mendapat sokongan semua pihak,” katanya.
No comments:
Post a Comment