Saturday, May 29, 2010

Merempit pun akan dapat elaun?

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said pernah menemui mat rempit pada satu operasi polis tahun lalu – Gambar Zulkifli Putra

Mampukah program Terengganu Rempit Sifar 2010 dijayakan di Terengganu?
Ada pihak menyarankan supaya diadakan usaha bagi menarik minat mat rempit menceburi pertubuhan sukarelawan yang ada ditekankan dan dipandang serius.

Malah, ada juga pihak yang mencadangkan disediakan elaun kepada mat rempit yang menyertai program sukarela dan kemasyarakatan yang dianjurkan oleh pertubuhan berkenaan.

Persoalannya dengan adanya elaun, apakah mat rempit akan memberhentikan kegiatan mereka?

Menurut laporan Sinar Harian kelmarin, Persatuan Belia Waja Watan Terengganu (PB2W) melihat cara itu mungkin berkesan dan kerana itu sanggu[ mengambil inisiatif memperkenalkan program jaringan mesra kerajaan dengan ‘komuniti rempit’ bermula tahun ini.
Ia sebagai usaha menangani masalah rempit yang dilihat begitu berleluasa di Terengganui.

Pengerusinya, Shukri Embong berkata, program yang berbentuk sesi dialog bersemuka antara ‘kepala’ mat rempit bersama wakil Kerajaan Negeri ini perlu diadakan bagi memberi ruang kepada ‘komuniti rempit’ meluahkan apa yang terbuku serta dalam masa sama, dapat mengelakkan kerenah birokrasi.

“Program ini akan diadakan secara berterusan dan kami menekankan program sebegini kerana yakin dengan adanya pertemuan ‘empat mata’ tanpa menggunakan khidmat ‘orang tengah’, segala hasrat yang ingin disampaikan sama ada daripada pihak Kerajaan Negeri sendiri ataupun ‘komuniti rempit’ ini dapat disalurkan terus tanpa ada ‘tokok tambah’ daripada mana-mana pihak.

“Melalui perbincangan dari hati ke hati ini, sekurang-kurangnya dapat membantu Kerajaan Negeri merangka satu jalan penyelesaian me nangani sosial rempit dan sekali gus dapat menjinakkan ‘komuniti rempit’ ini serta seterusnya sasaran rempit sifar dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata sedemikian sempena Perjumpaan dan Makan Malam Mat Rempit bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said di Terengganu Equesterian Resort (TER), Kuala Ibai kelmarin.

Menurut Shukri, hasil perjumpaan kali pertama ini, seramai 35 orang terdiri daripada ‘kepala’ kumpulan mat rempit yang ada di negeri ini bersetuju untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri menangani masalah rempit di negeri ini dan seterusnya menjayakan program Terengganu Rempit Sifar 2010.

Menurutnya, sempena program ini juga, satu pendekatan komprehensif penjenamaan semula perkataan Rempit telah diberi nama baru iaitu T-Remp (Remaja Penyayang).

Sementara itu, Shukri berkata, dengan kepakaran yang ada pada PB2W sebagai belia dwifungsi awam dan tentera (Sukarelawan Angkatan Simpanan), pihaknya menyarankan agar usaha menarik minat mat rempit menceburi pertubuhan sukarelawan yang ada hari ini ditekankan dan dipandang serius.

“Apa salahnya, kita menukar wira jalanan ini kepada wira negara kerana yakin, majoriti mat rempit ini sebenarnya tertarik dengan pertubuhan sukarelawan sekiranya pihak bertanggungjawab memandang serius dengan usaha ini.

“Mungkin selepas ini, kita boleh sediakan elaun kepada mat rempit yang menyertai program sukarelawan dan kemasyarakatan yang dianjurkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment