Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Setiu bersama Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari kawasan Parlimen itu akan mengagihkan 500 hamper kepada keluarga miskin di daerah itu secara berperingkat pada tahun ini.
Pegawai JKM Daerah Setiu, Emilia Sumiyati Embong berkata, setakat ini pihaknya sudah mengagihkan hamper mengandungi barang makanan kepada hampir 100 keluarga dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri dan Langkap.
Menurutnya, semua hamper itu akan diserahkan oleh ADUN kawasan masing-masing di setiap rumah yang ahli keluarganya didapati benar-benar layak mendapat sumbangan.
''Kami akan memastikan setiap penerima bantuan terdiri daripada keluarga yang benar-benar miskin atau mereka yang hidup menderita akibat penyakit kronik.
''Sumbangan yang disalurkan oleh kerajaan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban perbelanjaan yang dialami oleh keluarga terbabit," katanya ketika ditemui di majlis penyerahan hamper di Kampung Penarik Baru kelmarin.
Sempena majlis itu, sebanyak 50 hamper diagihkan kepada penduduk kampung di sekitar kawasan Penarik yang disampaikan oleh ADUN Permaisuri, Abdul Halim Jusoh.
Emilia berkata, dengan penyerahan hamper ke setiap buah rumah keluarga terbabit ia secara tidak langsung dapat mendekatkan wakil rakyat dan kakitangan JKM dengan masyarakat kampung khususnya orang miskin.
Menurutnya, keutamaan pemberian hamper itu adalah kepada golongan yang menerima bantuan daripada JKM serta golongan miskin.
''Dengan cara ini golongan terbabit tidak akan dipinggirkan untuk menerima bantuan hamper yang diadakan dari masa ke semasa oleh kerajaan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment