Terengganu belum bersedia melepaskan gelaran tetapi Johor mahu ditabalkan juara di hadapan penonton sendiri apabila Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) ke-52 bermula di Johor Bahru, hari ini.
Juara bertahan Terengganu, yang merangkul juara keseluruhan dengan 13 pingat emas pada edisi tahun lepas, sekali lagi dijangka mempertahankan kejuaraan berdasarkan sasaran 16 pingat emas kali ini.
"Kekuatan kami dalam acara lelaki dan wanita pada kategori bawah 16 tahun dan meletakkan sasaran 16 emas. Jika mampu mencapai sasaran, kami boleh mengekalkan kejuaraan," kata jurulatih Md Arif Awang di Johor Bahru semalam.
Kontinjen Terengganu dengan 67 anggota meletakkan sandaran kepada pelari pecut Harith Amar Mohd Sabri, yang merangkul dua emas dalam kategori bawah 15 tahun tahun lepas dan akan beraksi dalam kategori bawah 18 tahun tahun ini.
"Dia masih menjadi pilihan utama dengan catatan masa terbaik 10.9 saat bagi acara 100 meter dan 22.3 saat bagi 200 meter," katanya.
Bagaimanapun, Johor turut yakin aksi di tempat sendiri di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, dekat Larkin, akan memberi kelebihan kepada mereka.
Johor menggantikan Terengganu sebagai tuan rumah tahun ini berikutan kerja-kerja membaik pulih bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu masih berjalan selepas ia runtuh tahun lepas.
"Kami yakin meraih 16 pingat emas dan kekuatan kami terletak dalam kategori bawah 15 tahun. Bersaing di tempat sendiri dan insentif RM1,000 untuk setiap pingat emas akan mendorong atlet kami," kata Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran.
Selain Terengganu dan Johor, Sarawak dan Kelantan juga tidak boleh dipandang mudah pada kejohanan tahunan itu.
Kelantan, dengan pencapaian 11 pingat emas tahun lepas, mengekalkan kebanyakan pemenang pingat kali ini dan pemerhati olahraga percaya jika mereka dapat menampilkan persembahan yang diharapkan, maka negeri itu mampu memberi saingan sengit.
Sarawak pula tidak boleh dipandang ringan kerana mereka mempunyai potensi untuk bangkit semula selepas 'hilang pudar' untuk beberapa tahun lalu, kata Md Arif.
No comments:
Post a Comment