Sunday, May 30, 2010

Kakitangan awam perlu bersikap ‘cakna rakyat’

Kakitangan awam bergambar bersama Menteri Besar dan SUK selepas majlis penyampaian anugerah Khidmat Cemerlang. – Gambar Zulkifli Putra

Minggu lalu, dua kali Datuk Ahmad Said mengingatkan kakitangan awam terutama pegawai kanan supaya peka dan mendalami masalah rakyat.

Bukan orang politik sahaja yang perlu cakna rakyat tetapi kakitangan awam yang berurusan setiap hari dengan rakyat juga perlu cakna dengan masalah mereka.

Kali pertama Ahmnad Said menyebut perkasra itu ketika merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman pada Selasa (25 Mei) dan kemudian pada sidang media sehari selepas itu iaitu Rabu (26 Mei).

Menteri Besar memang berang kalau sekiranya kakitangan awam tidak mengambil berat soal rakyat.

Apa tidaknya, berikutan kelalaian dan tidak bertanggungjawab kakitangan awam yang diamanahkan, beberapa projek di Terengganu terbengkalai atau rosak selepas dibina.

Contoh jelas ialah bagaimana Dewan Bedah Hospital Setiu dan Pusat Akuatik yang ditutup tidak dapat dibuka semula kerana kelewatan pegawai mengambil tindakan proaktif.

"Bagi saya ini satu perbuatan yang cuai, tidak bertanggungjawab dan kalau saya, saya tidak boleh maafkan perkara ini kerana ia bukan sahaja membazir wang, malah rakyat tidak mendapat faedah yang sepatutnya mereka perolehi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kuala Terengganu Rabu lalu.

Hospital Setiu yang berharga RM65.8 juta mula digunakan sejak tahun 2003, namun sehingga kini dewan bedahnya masih tidak dapat digunakan setelah mengalami beberapa masalah.

Pusat Akuatik MBKT berharga RM18 juta dibina kerajaan Terengganu untuk acara renang Sukan Malaysia (Sukma) 2008, bagaimanapun ditutup selepas setahun siap dibina kerana didapati banyak bahagian yang bocor dan berkarat.

Pada Julai tahun lepas Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor ketika membuat tinjauan ke pusat itu berkata kualiti pusat akuatik itu tidak mencapai tahap yang ditetapkan menyebabkan ia tidak dapat berfungsi dengan baik.

Ahmad Said mengingatkan, melalui slogan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan – rakyat perlu didahulukan, bukan sekadar janji manis.

Bukan sekadar kakitangan awam sahaja akan dicemuh sekiranya gagal memberikan perkhidmatan yang baik, kepimpinan negeri, terutamanya orang politik juga akan merasainya bukan sekadar tempias tetapi dipersalahkan bulat-bulat.

Malah, menurut istilah Ahmad Said, orang politik akan dijadikan ‘tong sampah’ – tempat orang ramai atau rakyat melemparkan rasa tidak puas hati mereka sedangkan masalah itu berpunca daripada kakitangan awam yang tidak cekap.

Kerana itu, kakitangan awam khususnya pegawai kanan dinasihati supaya menyelidik sehingga ke akar umbi, sekiranya sesuatu tugas sama ada berkaitan penyediaan infrastruktur, pentadbiran atau urusan tanah yang dilaksanakan itu masih tidak sempurna di hati rakyat.

Langkah ini cukup penting bagi mengelak rakyat mencemuh apa yang dilaksanakan kerajaan di mana secara tidak langsung memberi impak negatif kepada pemimpin politik.

Kerana itu beliau terus mengingatkan pegawai-pegawai kerajaan di Terengganu agar tidak terlalu cepat berpuas hati dengan apa yang dicapai kerana itu akan memberi kesan buruk kepada jabatan.

Beliau berkata amalan mudah berpuas hati dengan apa yang dibuat akan melahirkan pegawai-pegawai yang tidak komited terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Pegawai kerajaan hendaklah sentiasa turun padang memantau sendiri sesuatu projek yang dijalankan dan tidak hanya bergantung laporan daripada pekerja di bawah.

"Hanya pegawai yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan jika ada masalah berbangkit," katanya.

Berkaitan ini beliau tidak menolak masih terdapat segelintir kakitangan bersikap sentiasa berpuas hati dengan apa yang dilaksanakan tanpa perlu menyelidik secara terperinci dan turun padang untuk menyiasat.

“Sikap ambil mudah yang pasti menjejaskan imej kerajaan perlu dikikis dengan meningkatkan nilai intergriti, mengamalkan kepantasan bertindak dan membuat keputusan secara bijak sana serta seadil mungkin, “ katanya.

Ahmad Said berpendapat, tindakan itu perlu wujud dalam diri kerana penjawat awam merupakan aset penting kepada kecemerlangan pentadbiran dan perkhidmatan di Terengganu.

No comments:

Post a Comment