Friday, May 21, 2010

Kerajaan Terengganu Belanja RM800,000 Untuk Buka 100 Kelas Al Quran

Kerajaan negeri Terengganu akan membelanjakan RM800,000 untuk membuka 10 lagi kelas mengaji al-Quran secara intensif untuk kanak-kanak tabika di Terengganu tahun ini.
Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata sebelum ini kerajaan negeri membelanjakan RM3.2 juta untuk 300 kelas mengaji al-Quran di negeri ini.

"Ia sebagai komitmen kerajaan negeri dalam usaha melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga celik al-Quran," katanya kepada pemberita selepas majlis Hari Potensi Kanak-kanak Tabika Kemas Peringkat Negeri Terengganu 2010 semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Mazlan Ngah dan Pengarah Kemas negeri Nor Hazelina Hashim.

Ahmad berkata kerajaan negeri berhasrat menambah 100 kelas mengaji setiap tahun sehingga menjadi 800 kelas dalam masa empat tahun lagi.

Beliau berkata kerajaan negeri dijangka membelanjakan RM6.4 juta setahun apabila keseluruhan 800 kelas mengaji itu wujud menjelang tahun 2015.

Ahmad berkata setiap kelas mengaji itu mampu menempatkan antara 25 hingga 30 orang murid dalam satu-satu masa.

"Kerajaan negeri berhasrat untuk melihat anak-anak Terengganu yang belajar di Tabika Kemas akan khatam Quran sebelum melangkah ke sekolah rendah dan sebelum ini seramai 2,000 murid berjaya khatam al-Quran sebelum melangkah ke sekolah rendah," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri meletakkan sasaran untuk melihat 20,000 murid tabika khatam al-Quran dalam tempoh empat tahun akan datang.

No comments:

Post a Comment