Kementerian Pelancongan menggalakkan pelajar sekolah menengah di pulau-pulau tarikan pelancong di negara ini melibatkan diri dalam program perantis pemandu pelancong.
Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata sebagai permulaan kementerian akan menjadikan pelajar sekolah menengah di Pulau Tioman di Pahang, Pulau Redang dan Pulau Perhentian di Terengganu sebagai perintis program itu.
"Kita perlukan pemandu pelancong yang mahir dengan pulau. Kita melihat kepada beberapa pulau seperti Pulau Perhentian, Pulau Tioman, Pulau Redang, untuk melatih mereka bermula dari usia muda," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar "Inovasi dan Kreativiti dalam Pelancongan: Transformasi ke arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi" anjuran kementerian itu semalam.
Ng berkata pihaknya telah menyatakan cadangan itu kepada Kementerian Pelajaran untuk mengenalpasti beberapa sekolah di sekitar pulau berkenaan untuk memulakan program itu.
"Maklumbalas yang saya sendiri peroleh dari sekolah adalah positif. Ia bukan untuk mencari duit, ia adalah aktiviti kokurikulum. Kini kita ada kelab pelancongan (di sekolah), tetapi ia tidak berapa teratur, jadi kita mungkin terlebih dahulu melihat kepada latihan untuk beberapa guru berhubung perkara itu," katanya.
Beliau berkata pelajar terlibat akan diberi pendedahan ketika musim cuti sekolah dan mereka akan mengikuti latihan di hotel terpilih termasuk menjalani kursus bahasa asing selain kursus menyelam dan pelancongan.
Ng berkata sekiranya diberi pendedahan mencukupi, remaja tempatan lebih sesuai dijadikan pemandu pelancong berikutan mereka lebih mengetahui pelbagai keistimewaan seperti soal menyelam dan jenis hidupan laut yang terdapat di pulau berkenaan berbanding pemandu pelancong dari luar.
Sehubungan itu, katanya, secara tidak langsung program itu dapat melahirkan pemandu pelancong yang berkemahiran dan berpengetahuan dari kalangan anak tempatan sendiri selain memberi pekerjaan serta meningkatkan ekonomi di tempat itu.
Sementara itu, Ng berkata kementerian akan memberi penekanan kepada kreativiti dan inovatif dalam industri pelancongan khususnya bagi menyokong inisiatif Model Ekonomi Baru memandangkan Malaysia mempunyai pelbagai produk yang berpotensi untuk dimajukan selain pulau-pulau yang telah menjadi tumpuan utama pelancong ke negara ini.
"Bila kita bercakap mengenai pakej, kita ingin melihat ejen pelancongan menjadi lebih inovatif dalam pakej pelancongan mereka, untuk menjadi lebih berani," katanya.
Seramai 150 peserta dari kalangan pelbagai industri termasuk penggubal dasar dan pakar dari sektor ekonomi serta swasta terlibat dalam seminar itu.
No comments:
Post a Comment