Thursday, May 27, 2010

Masalah Perumahan Rakyat Miskin Di Seberang Takir Diatasi 2015

Kerajaan negeri Terengganu mensasarkan untuk mengatasi masalah perumahan rakyat bagi golongan miskin di kawasan Seberang Takir di sini menjelang tahun 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abd Rahman berkata sekurang-kurangnya lima projek perumahan akan dibangunkan di kawasan itu dalam tempoh tersebut.

"Ini satu tanggungjawab kerajaan negeri hendak memastikan golongan miskin mendapat tempat tinggal di samping menikmati pembangunan yang akan dilaksanakan di kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bersama penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir.

Ahmad Razif yang juga Anggota Dewangan Undangan Kawasan Sebarang Takir berkata projek pertama 722 unit rumah flat kos rendah bernilai RM104 juta sedang dilaksanakan di Kampung Batin.

Katanya projek seterusnya, sebanyak 800 unit rumah mampu milik akan dilaksanakan di Kampung Pak Tijah sebaik sahaja kerajaan meluluskan projek berkenaan.

Beliau berkata satu lagi projek yang dicadangkan ialah di kawasan Hujung Tanjung Seberang Takir yang melibatkan kawasan seluas 56 hektar.

Di samping itu, Ahmad Razif berkata Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECER) juga akan melaksanakan projek perumahan rakyat untuk golongan nelayan di kawasan Seberang Takir.

"Kita sedang mengenalpasti kawasan untuk memberi peluang ECER membantu nelayan keluar daripada kemiskinan," katanya.

Beliau berkata kawasan Seberang Takir yang merupakan sebahagian kawasan bandar raya mempunyai nilai hartanah yang sangat tinggi menyebabkan rakyat berpendapatan rendah sukar untuk memiliki rumah di kawasan itu.

No comments:

Post a Comment