Thursday, May 27, 2010

Terengganu Akan Terbit Buku Agama Karangan Penulis Tempatan

Menteri Besar menerima sumbangan koleksi daripada waris Allahyarham Datuk Perba Diraja Wan Abdul Rahman Long. – Gambar Zulkifli Putra

Terengganu akan menerbitkan buku-buku yang berunsur agama hasil tulisan penulis-penulis buku agama terkenal negara dalam usaha menobatkan ia sebagai sebuah negeri ajung ilmu.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata usaha itu bukan sahaja untuk tujuan perniagaan tetapi pada masa yang sama turut menyumbang ke arah memperkaya ilmu dalam negara.

"Di samping melahirkan pelajar-pelajar cemerlang, kerajaan negeri juga akan berusaha menerbitkan kitab-kitab pengajian Islam, Fiqah dan lain-lain," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kuala Terengganu, semalam.

Terdahulu Ahmad menerima sumbangan 1,944 bahan berupa A-Quran, kitab, manuskrip, buku, majalah, diari dan fail-fail sumbangan koleksi Allahyarham Datuk Perba Diraja Wan Abdul Rahman Long kepada kerajaan negeri.

Kesemua bahan itu diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman mewakili pihak keluarga Allahyarham.

Wan Abdul Rahman yang dilahirkan di Kampung Duyong Kecil Kuala Terengganu dan meninggal dunia pada 8 Nov 1989 pernah memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan negeri Terengganu seperti Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Islam (JHEAT), Kadi Besar dan Ahli Jawatankuasa Ulama Terengganu.

No comments:

Post a Comment