Tuesday, May 18, 2010

Maxis Lancar Pusat Maxis Pertama Di Kuala Terengganu

KUALA TERENGANU, 17 Mei (Bernama) -- Maxis Bhd, salah satu penyedia utama komunikasi Malaysia melancarkan pusat Maxis pertamanya di Terengganu pada Isnin.

"Dengan pusat tambahan itu, Maxis mempunyai satu pusat runcit dan empat rakan kerjasama ekslusif Maxis untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada para pelanggan di Terengganu," kata Ketua Pegawai Operasi Maxis Jean-Pascal Van Overbeke.

Beliau berkata para pelanggan Maxis di rantau Pantai Timur telah berkembang secara berterusan, dengan Terengganu mendahului dari segi peningkatan pangkalan pelanggan.

"Pusat pertama kami di Kuala Terengganu diwujudkan bagi memastikan para pelanggan kami akan tekal menikmati penggalaman pelanggan lebih bermutu dengan Maxis," katanya kepada pemberita selepas perasmian oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu Datuk Adzlan Mohd Dagang, di sini pada Isnin.

Pusat yang terletak di Jalan Bata Baru di sini itu merupakan cawangan ke-31 di negara ini dan ketiga bagi Pantai Timur selepas Kuantan dan Kota Baharu.

Van Overbeke berkata Maxis mengunjurkan untuk meningkatkan liputan di Pantai Timur, dan bagi menyokong visi negara merapatkan hubungan antara masyarakat, syarikat itu mempertingkatkan liputan bukan sahaja di bandar-bandar utama tetapi juga di kawasan-kawasan luar bandar.

"Maxis akan terus menambah baik perkhidmatan pelanggan di semua bandar utama dengan peningkatan pada mata pembayaran bagi pelanggan.

Kami juga akan membangunkan kemudahan akses dan kemudahan tambah nilai prabayar dengan menggandakan mata tambah nilai semasa kami," kata beliau.

Maxis dengan anak-anak syrikat sekutunya mempunyai lebih 12.3 juta pelanggan telefon mudah alih setakat 31 Dis, 2009.

Sejak penubuhan syarikat induknya Maxis Communications Bhd pada 1995, perniagaan Maxis Malaysia telah menyediakan rangkaian lengkap perkhidmatan komunikasi.

Maxis merupakan perintis dalam menyediakan produk dan perkhidmatan mudah alih inovatif, dan yang pertama melancarkan perkhidmatan 3G pada Julai 2005.

Syarikat itu juga merupakan penyedia perkhidmatan yang pertama membawa masuk telefon mudah alih bistari Blackberry dan Apple iPhone ke Malaysia.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment