Tuesday, May 18, 2010

MB Tinjau Penempatan Ladang

Daripada Teganukita

Program penyusunan semula Bandar Raya Kuala Terengganu untuk mewujudkan Bandaraya Warisan Pesisir Air memerlukan penstrukturan semula penempatan termasuk proses perpindahan penduduk terlibat ke penempatan lain.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said meninjau sendiri tapak projek dan penempatan penduduk terlibat di Kampung Ladang, kelmarin.

Beliau diiringi Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Datuk Zakaria Awang melawat sekitar kawasan itu kira-kira sejam sambil mendengar taklimat daripada pihak PMINT dan Pejabat Tanah dan Galian Terengganu mengenai status dan perkembangan projek berkenaan.

Perpindahan itu bagi membolehkan kampung tersebut dibangunkan dengan kediaman serba moden termasuk rangkaian kedai.

Kira-kira 50 keluarga dari kampung berkenaan terlibat dengan perpindahan ke penempatan baru di Flat Ladang Gemilang (FLG) 1 16 tingkat yang terdiri daripada 192 unit kediaman kos rendh dan 88 unit kos sederhana bermula 20 Mei ini.

Seorang penduduk, Zamani Zakaria, 27, memuji tindakan kerajaan negeri membina FLG 1 kerana nyata membantu penduduk setempat terutama golongan di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) mendapat kadar sewa yang rendah.

Beliau begitu teruja melahirkan perasaan gembira terhadap pembangunan yang telah dibawa oleh Kerajaan Terengganu kepada masyarakat terutamanya penduduk di kawasan Ladang.

Seorang lagi penduduk setempat, Mohd Afrul Ismail @ Awang, 33, juga menyokong tindakan kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf hidup serta ekonomi masyarakat dan pembinaan kemudahan baru itu amat bertepatan.

“Pembinaan FLG 1 ini mencerminkan kerajaan yang cukup prihatin serta menjaga kebajikan rakyat setempat.

“Selain projek pembinaan FLG 1 ini, pembinaan FLG 2 juga bakal disiapkan mengikut perancangan bagi menampung keperluan dan kemudahan rakyat Terengganu, “katanya.

FLG 1 yang melibatkan perbelanjaan RM35 juta memberi keselesaan dengan komposisi tiga bilik tidur dan 2 bilik air, manakala bagi unit kos sederhana pula, terdapat empat buah bilik serta 3 bilik air, selain kemudahan sampingan dan keselamatan yang terjamin.

Untuk permulaan, flat ini hanya dibuka untuk disewa antara RM126 hingga RM300 bagi unit kos rendah dan RM 800 bagi kos sederhana.

1 comment: