Tuesday, May 18, 2010

YWM Rancang Bina Lima Hotel Bernilai RM100 Juta Bantu Umat Islam

Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) merancang membina lima buah hotel dengan kos RM100 juta di negeri Terengganu, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Kelantan bagi membantu umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mejar Jeneral Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pembinaan sebuah hotel telah pun bermula di Melaka dan dijangka siap pada September ini.

Apabila siap, pengurusan hotel-hotel tersebut akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam di negeri-negeri berkenaan, katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara YWM dengan anak syarikat Amanah Raya Bhd (ARB), AmanahRaya Legacy Services Sdn Bhd (ALS).

Selain itu, YWM juga sedang melaksanakan pembangunan Projek Kecil Berimpak Besar, iaitu 74 projek Wakaf Mart dan Bazar Rakyat di kawasan masjid dan tanah wakaf terpilih di seluruh negara yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini, katanya.

Katanya Wakaf Mart dan Bazar Rakyat juga akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam di negeri masing-masing selepas siap kelak.

Beliau berkata YWM juga telah melancarkan Skim Wakaf Tunai sebagai kaedah mengumpul dana wakaf dan penyertaan boleh dibuat secara sekali sahaja atau secara potongan gaji bulanan.

Pada permulaannya, dilaksanakan bagi yang bekerja di sektor kerajaan dan terhad pada Lembah Kelang sahaja.

Mengulas mengenai MOU antara YWM dan ALS, Pengerusi ARB Datuk Dusuki Ahmad berkata ia membolehkan kedua-dua pihak menyediakan jalan penyelesaian alternatif kepada umat Islam yang ingin membuat perancangan sumbangan amal jariah melalui produk wakaf selepas kematian.

Menerusi MOU itu, ALS akan menyalurkan harta yang diwakafkan kepada YWM untuk dimanfaatkan kepada umat Islam yang memerlukannya, katanya.

Melalui YWM, harta itu dapat ditadbirkan secara produktif dan dapat disusun atur penyalurannya dengan penuh sempurna menurut kehendak syarak bagi kebajikan awam, katanya.

Beliau berkata ARB telah mendaftarkan 332,091 wasiat dengan 297,890 daripadanya wasiat orang Islam dan 34,201 wasiat bukan Islam.

No comments:

Post a Comment