Seorang balu yang hidup dalam kemiskinan di Kampung Batu Rakit, Kuala Terengganu tidak pernah menyangka dia akan dirai sempena sambutan Hari Ibu dan majlis itu pula berlangsung di sebuah hotel terkemuka dekat sini semalam.
Jenab Mohd., 44, begitu terharu dan menangis kerana terlalu gembira apabila dirai pada majlis sempena Hari Ibu di Sutera Beach Resort & Spa di Merang.
Lima anaknya termasuk empat yang masih bersekolah turut diraikan pada satu majlis tersebut malah mereka diberikan peluang untuk menginap di suite resort tersebut.
Jenab berkata, dia tidak pernah terfikir untuk menginap di pusat peranginan tiga bintang itu apatah lagi tinggal di bilik mewah yang bayarannya agak mahal jika disewa sendiri.
‘‘Saya orang susah dan sudah tentu sumbangan Sutera Beach Resort & Spa ini amat bermakna sekali sehingga saya tidak sangka menangis gembira dan kerana masih ada pihak yang bersimpati dengan nasib kami sekeluarga.
‘‘Sebelum ini tidak ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengambil tahu dengan masalah kami dan meraikan kami sekeluarga seperti pada majlis ini ,” katanya.
Zainab yang kematian suami kira-kira lima tahun lalu kini mengambil upah menyiang ikan untuk membuat keropok di kampungnya dengan memperoleh pendapatan kira-kira RM20 sehari bagi menyara perbelanjaan lima anaknya iaitu Mazaitul Mahdi, 18, Mohd. Zainuddin, 17, Nor Suhada, 15, Nor Atikah, 9 dan Nor Shafikah, 7.
Sementara itu, Pegawai Jualan dan Pemasaran Sutera Beach Resort & Spa, Raja Jamilah Raja Ismail berkata, program tersebut merupakan salah satu kerja amal yang sering dilakukan resort tersebut sepanjang masa.
‘‘Sambutan Hari Ibu ini agak meriah kerana kita bukan sahaja meraikan ahli keluarga Jenab tetapi juga memberi sumbangan kuih kepada 12 ibu lain yang berkunjung ke sini,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment