Wednesday, May 26, 2010

Syarikat Di Pantai Timur Diseru Rebut Peluang Eksport Produk

Syarikat-syarikat di negeri Pantai Timur diseru merebut peluang untuk menggunakan kemudahan yang diberikan kerajaan melalui pembukaan pasaran Kawasan Perdagangan Bebas (FTA) bagi mengeksport produk dan perkhidmatan ke negara-negara terlibat.

Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Nik Zainiah Nik Abdul Rahman berkata, melalui FTA, duti import telah dikurangkan dan seterusnya akan dihapuskan serta peraturan perdagangan dipermudahkan.

"Pembukaan FTA bermakna pasaran kita juga dibuka. Inilah peluang untuk syarikat-syarikat Malaysia dan wilayah Pantai Timur khususnya yang mempunyai ramai usahawan khasnya kalangan bumiputera mengembangkan perniagaan ke pasaran eksport dan meningkatkan kemampuan dan keupayaan bagi terus bersaing di pasaran antarabangsa," katanya pada Majlis Program Matrade Bersama Usahawan dan Pengeksport di Kota Bharu semalam.

Beliau berkata, buat permulaan beliau menyarankan syarikat di Pantai Timur melihat kepada peluang pasaran serantau terutamanya pasaran negara Thailand.

"Negara Thai merupakan destinasi eksport yang kelima terbesar negara dan di dalam negara Asean, adalah yang kedua terbesar selepas Singapura.

"Antara produk yang berpotensi untuk dieksport ke pasaran Thailand ialah makanan halal, peralatan automotif, produk berasaskan kayu, elektrikal dan elektronik," katanya.

Beliau berkata untuk membangunkan produk dan perkhidmatan ke peringkat antarabangsa, syarikat perlu juga mengenalpasti kelebihan dan kekuatan produk atau perkhidmatan yang dapat ditawarkan supaya bersaing secara kompetitif di peringkat antarabangsa.

"Melalui pembukaan pasaran FTA juga syarikat IKS ((Industri Kecil dan Sederhana) akan berhadapan dengan cabaran dari negara-negara seperti China, India, Jepun dan lain-lain.

Salah satu cara untuk berhadapan dengan cabaran ini ialah syarikat perlu menekankan kepada kreativiti, inovasi dan produktiviti," kata Nik Zainiah.

No comments:

Post a Comment