Saturday, June 5, 2010

Hanya 24 Pemain Terbaik Dipilih Untuk Jalani Latihan Di Turki

Hanya 24 pemain terbaik dalam skuad bola sepak kebangsaan akan dipilih untuk menjalani latihan pusat di Antalya, Turki pada Rabu ini, kata jurulatih kebangsaan K. Rajagobal.

Seramai 30 pelatih sudah dinamakan, termasuk tiga daripada Terengganu. Ini bermakna enam daripada mereka akan digugurkan.

"Buat masa ini saya belum dapat membuat keputusan siapakah yang akan dipilih memandangkan hari ini adalah hari pertama latihan bagi mereka," katanya selepas mengendalikan latihan pusat pertama skuad kebangsaan di Kuala Lumpur.

Katanya latihan ke Turki amat penting bagi skuad kebangsaan memandangkan mereka bakal berdepan dengan Sukan Asia di Guangzhou, China pada bulan November dan Piala Konfederasi Bola sepak Asean (AFF) pada bulan berikutnya.

Rajagobal berkata mungkin dalam masa dua atau tiga hari lagi beliau akan mengumumkan siapakah yang dipilih ke Turki.

"Saya akan pastikan hanya pemain yang berpontensi dan tidak mengalami sebarang kecederaan diberi peluang untuk beraksi selama empat hari disana nanti," katanya.

Beliau berkata di Turki, pasukan kebangsaan berpeluang untuk menghadapi sekurang-kurangnya tiga perlawanan persahabatan dengan beberapa kelab terkemuka Eropah.

"Kami masih belum dapat tahu pasukan manakah yang akan bersaing namun secara dasarnya dua pasukan dari kelab terkemuka Liga Russia akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan negara, manakala pasukan untuk satu perlawanan lagi masih belum ditentukan lagi," katanya.

Rajagobal berkata pasukan negara tidak berpelung untuk beraksi dengan pasukan Turki memandangkan bahawa mereka kini sibuk membuat persiapan untuk menghadapi Kejohanan Piala Dunia yang bermula 11 Jun ini.

"Bagi saya Russia boleh dikatakan sebagai satu pasukan yang kuat walaupun mereka tidak tersenarai dalam Kejohanan Piala Dunia musim ini.

"Apa yang menjadi ukuran bukanya kepada ranking sesebuah pasukan yang bakal dihadapi tetapi pasukan negara sebenarnya memerlukan lebih banyak perlawanan perlawanan yang kompetitif bagi memastikan skuad kebangsaan bersedia sepenuhnya," katanya.

Senarai 30 pelatih skuad kebangsaan:

Penjaga gol: Mohd Farizal Marlias (Perlis), Mohd Sharbinee Allawee(Terengganu), Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)

Pertahanan: Norhafiz Zamani Misbah (KL Plus), Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak (Nengeri Sembilan), Muhaimin Omar (Terengganu), Mohd Asraruddin Putra Omar (Selangor), Mohd Nasriq Baharom (Selangor), Mohd Bunyamin Umar (Selangor), V.Thirumurugan (Kedah), Mohd Azmi Muslim (Kedah), Mohd Sabre Mat Abu (Kedah), Khairul Helmi Johari (Kedah), Muslim Ahmad (Harimau Muda A), Mahali Jasuli (Harimau Muda A)

Tengah: K. Gurusamy (Harimau Muda A), Safiq Rahim (Selangor), S. Kunalan (Negeri Sembilan), Amar Rohidan (Perlis), Faizal Abu Bakar (Kedah), Mohd Khyril Muhymeen Zambri (Kedah), S. Harivarman (PDRM)

Penyerang: Mohd Safee Sali (Selangor), Ahmad Fakri Saarani (Perlis), Shakir Ali (Harimau Muda A), Izzaq Faris Ramlan (Harimau Muda A), Baddrol Bakhtiar (Kedah), Ashaari Shamsuddin (Terengganu), Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak (Negeri Sembilan), Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan).

No comments:

Post a Comment