Wednesday, June 16, 2010

Adi Pecah Rekod Kebangsaan Lontar Peluru, Idam Emas Di Olimpik

PEMENANG pingat emas acara lontar peluru lelaki, Adi Aliffudin Hussin dari Terengganu menunjukkan jarak lontarannya 17.31 meter yang tertera papan keputusan, sekali gus mengatasi rekod kebangsaan pada Sukan Malaysia ke-13 di di Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka, 15 Jun. – Gambar Utusan

Adi Aliffuddin Hussin dari Terengganu mencipta rekod baru kebangsaan, sekaligus meraih emas dalam acara lontar peluru pada Sukma Ke-13 Melaka di Stadium Utama, Kompleks Sukan Hang Jebat semalam.
Anak kelahiran Marang itu membuat lontaran 17.31m mengatasi rekod yang dipegangnya sendiri 17.18m di Sukan Sea, Laos tahun lalu.

"Saya tahu saya akan menang (sebelum pertandingan)... jadi saya 'target' untuk pecah rekod kebangsaan, sebab ini Sukma yang terakhir buat saya," katanya.
Ini merupakan kali keempat Adi memenangi emas menerusi acara itu sejak mewakili Terengganu ke Sukma 2004 di Negeri Sembilan.

Adi berkata selepas ini beliau akan menumpukan latihan selama lebih sebulan bersama pasukan kebangsaan di Hungary dan menyertai seberapa banyak kejohanan olahraga, dalam usaha untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

"Saya mahu pergi ke Olimpik dan kalau boleh saya mahu menang pingat emas untuk negara," kata mahasiswa jurusan Sumber Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

Adi berkata beliau tidak menyangka akan berada di tahap sekarang memandangkan pada mulanya beliau dipaksa oleh seorang guru untuk menyertai acara lontar peluru semasa di sekolah menengah.

"Cikgu yang paksa saya main acara ni... tak sangka boleh sampai ke tahap ini," katanya.

Selain pingat emas, Adi turut membawa pulang RM1,500 sumbangan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia kerana berjaya memecahkan rekod kebangsaan (RM1,000) dan rekod kejohanan (RM500).

Pingat perak dimenangi rakan sepasukannya Mohamad Alif Hanif Mohd Afandi manakala gangsa menjadi milik peserta Brunei Md Yazid Yatimi Yusof.

No comments:

Post a Comment