Thursday, June 17, 2010

Bekalan kurang, harga ikan naik

PENIAGA ikan, Mohamad Mustapa sibuk melayan pelanggan ketika tinjauan harga barangan kawalan di Pasar Bukit Besar, semalam.

Harga bahan mentah beberapa jenis makanan laut, ayam, daging dan sayur-sayuran di Kuala Terengganu tidak menentu apabila kebanyakan harga runcit dipengaruhi bekalan daripada pemborong.

Pun begitu, apa yang mengejutkan, terdapat rungutan daripada peniaga bahawa harga beberapa jenis ikan terpaksa dinaikkan ekoran bekalan ikan tempatan yang tidak mencukupi malah ada ketika tiada bekalan langsung sejak tiga minggu lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia ke Pasar Bukit Besar dekat sini, mendapati kebanyakan peniaga tidak meletakkan tanda harga menyebabkan harga sebenar sukar diketahui.

Kebanyakan peniaga yang ditemui mengakui harga bahan mentah seperti ikan bergantung kepada bekalan daripada pemborong.

Menurut seorang peniaga, Muhamad Mustafa, 52, sejak beberapa minggu yang lalu, harga sotong, ikan kembung dan sardin naik mendadak disebabkan bekalan diperolehi daripada Kuala Perlis, Perlis.

Katanya, disebabkan bekalan yang kurang daripada nelayan tempatan menyebabkan peniaga di pasar berkenaan ramai yang tidak beroperasi.

"Kita terpaksa menjual ikan kembung RM14 sekilogram berbanding RM10 sebelum ini manakala ikan sardin pula RM8 sekilogram berbanding sebelum ini RM6.

"Selain itu juga, sejak kebelakangan ini kita hanya memperolehi bekalan sotong sebanyak 20 kilogram sehari walaupun mendapat permintaan yang banyak setiap hari memandangkan cuti sekolah.

"Namun kita tiada bekalan menyebabkan terpaksa menjual RM14 sekilogram untuk jenis sotong bersaiz biasa berbanding RM10 sebelum ini," katanya ketika ditemui di Pasar Bukit Besar semalam.

Tambahnya, hampir 70 peratus ikan yang dijual di pasar itu bukan hasil tangkapan nelayan tempatan yang menyebabkan harga bahan tersebut naik dan turun tidak menentu.

Sementara itu, tinjauan terhadap sayuran seperti kobis, cili merah, tomato dan ayam mendapati harga yang dijual di pasaran masih berada di paras siling dan terkawal.

Hasil tinjauan mendapati ayam standard dan super masih terkawal di mana masing-masing dijual dengan harga RM7 hingga RM7.50 sekilogram.

Selain itu, tomato dan cili besar masing-masing dijual pada harga RM3.50 dan RM12 sekilogram.

No comments:

Post a Comment