Terengganu meraih emas dalam acara 4x100m lelaki manakala pasukan tuan rumah Melaka muncul johan dalam acara yang sama bagi kategori wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-13, di sini.
Pasukan Terengganu yang dibarisi Zabidi Ahmad, Muhammad Idris, Harith Ammar dan Muhd Ajmal Aiman, jauh meninggalkan pesaing terdekat Pulau Pinang dengan catatan masa 41.04saat.
Pengurus pasukan olahraga negeri itu Kama Rezuan Kamaruddin berkata kemenangan malam ini menebus kekalahan mereka pada Sukma dua tahun lepas.
"Pada SUKMA di Terengganu 2008, kita kalah akibat kesilapan memberi baton. Saya sangat gembira kerana barisan atlet kali ini dapat menebus kekalahan itu," katanya kepada Bernama di Stadium Utama, Kompleks Sukan Hang Jebat di sini.
Pulau Pinang akur dengan pingat perak manakala gangsa menjadi milik Pahang.
Sementara itu, kehadiran pelari kebangsaan Nurul Sarah Abdul Kadir dalam pasukan 4x100m wanita Melaka nyata memberi kelebihan kepada pasukan tuan rumah yang turut dibarisi Azmar Azlin Zainal Abidin, Nurhumairah Hashim dan Ku Munirah Ku Zamzuri.
Walaupun memberi saingan hebat pasukan Pulau Pinang hanya mampu meraih perak manakala Terengganu membawa pulang gangsa.
Selain itu, Brunei memenangi pingat emas pertama dalam acara lempar cakera lelaki menerusi Muhamad Yazid Yatimi Yusuf.
Beliau membuat balingan 42.87m mengatasi peserta Wilayah Persekutuan Fairus Hakim yang meraih perak, manakala Adi Aliffuddin dari Terengganu terpaksa berpuas hati dengan gangsa.
No comments:
Post a Comment