Tuesday, June 22, 2010

Skoliosis Bukan Disebabkan Beg Sekolah Berat

Masalah skoliosis atau penyakit bengkok tulang belakang di kalangan murid tiada kaitan dengan membawa beg sekolah yang berat.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata kajian pengesanan skoliosis di kalangan murid Tahun Enam di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Kuala Terengganu pada tahun 2008 dan 2009 tidak membuktikan membawa beg yang berat merupakan punca berlakunya bengkok tulang belakang.

Beliau berkata hasil kajian menunjukkan di kalangan 13,340 murid Tahun Enam yang diperiksa, enam kes disah skoliosis dan kini menjalani rawatan.

"Kementerian Kesihatan peka dengan masalah skoliosis di kalangan remaja amnya dan telah mendapat kerjasama Kementerian Pelajaran menerusi beberapa kajian bagi mengesan kadar skoliosis di kalangan pelajar.

"Hasil pemeriksaan mendapati hanya 0.97 peratus atau 129 orang disyaki mengalami skoliosis dan apabila dirujuk ke hospital hanya enam kes disah mengalami skoliosis dan sedang menjalani rawatan," katanya menjawab soalan Datuk Rashid Din (PKR-Merbok) pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur semalam.


Rashid dalam soalannya ingin tahu sejauh mana kementerian bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk menangani masalah penyakit Skoliosis di kalangan pelajar sekolah yang disebabkan faktor kekerapan membawa beg sekolah yang berat.

Rosnah berkata kajian Kementerian Pelajaran mengenai isu beg sekolah pada tahun 2003 dan disambung semula pada 2008 dan tahun ini juga menunjukkan beban beg sekolah bukan penyumbang kepada terjadinya penyakit Skoliosis kerana jika diambil kira kajian itu, berat keseluruhan buku teks ialah sebanyak 2.8kg sehingga 3kg sahaja.

Beliau berkata berat buku teks itu akan jauh berkurangan jika murid hanya membawa buku teks mengikut jadual buku harian persekolahan.

Bagaimanapun Rosnah berkata kekerapan membawa beg galas yang mempunyai berat melebihi 10 hingga 20 peratus berat badan boleh menyebabkan murid mengalami sakit belakang.

Beliau berkata walaupun isu mengenai penyakit itu bukanlah sesuatu yang serius, Kementerian Kesihatan merancang untuk memasukkan ujian saringan Skoliosis dalam garis panduan perkhidmatan kesihatan sekolah bagi membolehkan ia dilaksana di seluruh negara.

Rosnah berkata memandangkan punca penyakit itu tidak diketahui dan hanya dapat dikesan apabila seseorang itu berusia 12 tahun, ujian saringan itu sesuai dikhususkan bagi murid Tahun Enam.

"Untuk makluman, penyakit skoliosis juga terjadi bukan disebabkan postur tubuh yang lemah atau memikul beban beg yang berlebihan ataupun kekurangan zat kalsium di dalam tubuh," katanya.

No comments:

Post a Comment