Pengarah FAMA negeri, Hasan Jusoh berkata, sepanjang tahun lalu, nilai jualan lebih 10 pasar tani sedia ada di seluruh negeri mencecah RM16.2 juta.
Katanya, dengan peningkatan dari tahun ke tahun, pihak FAMA yakin inisiatif mengadakan pasar tani di setiap daerah membolehkan produk-produk yang dihasilkan pengusaha kecil-kecilan mampu diketengahkan.
''Terbaru kita telah membuka dua pasar tani iaitu di Bukit Kenak dan Kuala Ping, Hulu Terengganu serta empat lagi bakal di buka di Dungun, Ajil manakala dua lagi di Besut.
''Kita menjangkakan dengan pembukaan pasar tani tersebut dapat membantu menyediakan platform kepada usahawan-usahawan untuk menjual produk mereka selain memberi peluang kepada mereka mengetengahkan produk-produk mereka kepada masyarakat luar," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Farid Datuk Wan Salleh merasmikan Majlis Pelancaran Ekspo Usahawan Tani Negeri Terengganu 2010 di Dataran Shah Bandar semalam.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Adzlan Mohd. Dagang.
Sebanyak 112 usahawan dari seluruh negeri menyertai ekspo tahunan itu yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga 6 Jun ini.
Ekspo yang dibuka bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam itu menyediakan pelbagai pilihan produk berasaskan tani seperti herba, minuman, buah-buahan, makanan, ikan hiasan dan kraftangan.
Dalam pada itu, Hassan berkata, FAMA negeri kini dalam usaha memperkembangkan produk berasaskan ikan air tawar yang semakin mendapat permintaan di seluruh negara.
Katanya, pada masa kini Pasar Tani Padang Hiliran, dekat sini menjadi lokasi tumpuan utama di negeri ini untuk mendapatkan produk berkenaan.
''Setakat ini kita mempunyai sebanyak 12 peserta yang terlibat dalam perusahaan ikan air tawar dan kesemua mereka sedang giat mempromosikan produk itu.
"Antara produk yang dihasilkan ialah ikan keli pekasam dan salai yang semakin diminati pengguna," jelasnya.
No comments:
Post a Comment