Wednesday, June 30, 2010

Kelab Pengguna Terengganu pada tahap 85 Peratus

Penubuhan kelab pengguna di Terengganu mengatasi peringkat nasional kerana ketika ini di seluruh negara hanya terdapat 1,227 sekolah atau 55 peratus sekolah menengah menubuhkan kelab pengguna.

Sedangkan ketika ini penubuhan kelab pengguna di negeri ini hampir mencapai sasaran tahap nasional apabila 114 daripada 135 sekolah menengah telah menubuhkan kelab pengguna masing-masing.

Ini bermakna penubuhan kelab pengguna di negeri ini telah mencapai tahap 85 peratus dan setiap kelab ini akan diberikan geran penubuhan sebanyak RM500 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Berikutan itu, Kerajaan negeri bersedia menimbang untuk memberi peruntukan tambahan bagi mendorong sekolah menengah di negeri ini menubuhkan kelab pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata, ia juga sebagai galakan dan sokongan daripada Kerajaan Negeri ke arah merealisasikan hasrat (KPDNKK) bagi mewujudkan sebuah kelab pengguna di setiap sekolah menengah di seluruh negara menjelang 2012.

“Sekiranya peruntukan ini tidak mencukupi, kita bersedia menimbang untuk memberi peruntukan tambahan bagi memastikan kelab pengguna ini boleh menjalankan pelbagai aktiviti tanpa kekangan kewangan seterusnya memastikan penubuhan kelab pengguna di negeri ini boleh mencapai tahap seratus peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Taklimat dan Agihan Geran Penubuhan Kelab Pengguna Sekolah Menengah Negeri Terengganu 2010 Fasa Kedua di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu (PPAT), di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu, Mohd Hilmi Mohd Noor dan Pengerusi Persatuan Pengguna Negeri Terengganu, Mohd Zukee Mohd Ragam.

No comments:

Post a Comment