Monday, June 28, 2010

Rombakan Portfolio Exco Terengganu Tidak Sepatutnya Dipertikai

Langkah Menteri Besar Terengganu membuat rombakan portfolio lima Anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Khamis lepas tidak sepatutnya dipertikaikan.

Menurut Pengerusi MCA Terengganu, Toh Chin Yaw, apa yang dibuat itu bukan sahaja kerana ia hak mutlak Ahmad sebagai Menteri Besar untuk berbuat demikian, malah ia juga bertujuan memantapkan lagi urusan pentadbiran negeri.


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri berkata langkah diambil Ahmad Said bertujuan menyusun semula pengurusan kerajaan negeri dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Walaupun tidak terlibat dengan rombakan itu, beliau berpendapat setiap Exco yang terlibat mampu memikul tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin.

"Saya rasa setiap Exco tidak ada masalah untuk memegang mana-mana jawatankuasa sekalipun, apatah lagi pertukaran kali ini dibuat bersandarkan pengalaman dan kepakaran Exco terbabit," katanya kepada Bernama semalam.


Beliau diminta mengulas rasa tidak puashati sesetengah pihak termasuk pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri sendiri yang menganggap pertukaran lima Exco daripada 10 portfolio tersebut sebagai mengejutkan dan tidak perlu.

Bagaimanapun, menurut Toh, beliau percaya Menteri Besar membuat keputusan itu untuk mengukuhkan lagi kerajaan BN di Terengganu.

Pengumuman berhubung rombakan yang berkuatkuasa 1 Julai ini, diumumkan Ahmad Said menerusi satu kenyataan media pada Khamis lalu.

Berdasarkan rombakan itu, jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri yang sebelum ini disandang Yahya Khatib Mohamad akan digantikan oleh Datuk Za'abar Mohd Adib manakala Yahya akan memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri.

Portfolio baru Yahya itu sebelum ini dijawat Asha'ari Idris yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri.

Jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan Negeri yang sebelum ini disandang Za'abar akan digantikan oleh Datuk Rahin Mohd Said.

Rahin sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, digantikan Rozi Mamat yang sebelum ini menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri.

Menurut kenyataan media itu, surat arahan pertukaran kepada semua Exco yang terlibat telah dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Mazlan Ngah.

No comments:

Post a Comment