Isu Jambatan Kedua yang diperkatakan dengan begitu meluas oleh pemimpin politik khususnya dari Kuala Nerus – Ahli Parlimen, Datuk Nasir Ibrahim Fikri, ADUN Seberang Takir Ahmad Razif Abdul Rahman serta ADUN Teluk Pasu, Datuk Rahin Mohd Said akan dibina tidak lama lagi.
Jambatan ini diminta dibina bagi mengatasi masalah Jambatan Sultan Mahmud yang kerap sesak, khususnya pada sebelah pagi dan petang hari bekerja selain hari cuti.
Berikutan itu, Kerajaan negeri Terengganu akan membina sebuah jambatan baru mencecah RM250 juta yang menghubungkan Kampung Losong, di Kuala Terengganu dengan Kuala Nerus.
Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berkata, pembinaan jambatan merentasi Sungai Terengganu itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun dengan pembinaannya dijadualkan bermula tahun depan.
"Pembinaannya akan mengikut jajaran baru berbanding perancangan asal. Jajaran baru ini lebih menjimatkan kos memandangkan ia tidak banyak melibatkan pengambilan balik tanah kerana ia melalui jalan yang sedia ada," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri di Kuala Terengganu, semalam.
Katanya jajaran baru itu menghubungkan dengan lebih dekat daerah Kuala Terengganu dengan Kuala Nerus yang mempunyai kawasan perindustrian di Gong Badak, pusat-pusat pengajian tinggi, lapangan terbang dan sebagainya.
"Jambatan ini juga merupakan satu daripada perancangan pembangunan Kuala Nerus selaras dengan hasrat kita untuk mewujudkan satu daerah baru di situ," katanya.
Beliau berkata, perancangan jajaran jambatan lama yang dicadangkan iaitu dari Kampung Losong ke Pulau Sekati, di Kuala Nerus sebelum ke Tanjung Sabtu, Kuala Nerus menerusi Kampung Banggol Tuan Muda.
"Mengikut laluan lama ia melibatkan kos RM290 juta berbanding hanya RM250 juta pada laluan baru dan ia menjimatkan sehingga RM40 juta. Laluan baru ini merupakan jalan lama melibatkan pangkalan feri di Bukit Datu yang sudah mempunyai jalan dua lorong di situ," katanya.
Menurutnya, perubahan laluan jambatan itu akan membabitkan laluan lebih dekat selain menjimatkan RM40 juta memandangkan kos jambatan baru tersebut adalah RM250 juta.
"Kerajaan negeri buat keputusan setelah beberapa kali mengadakan perbincangan. Akhirnya kita putuskan jambatan yang dulunya telah dicadangkan dari Losong melalui Pulau Sekati akan diubah laluan.
"Sebelum itu, jambatan ini dibina menghubungkan Tanjung Sabtu melalui Banggol Tuan Muda, sekarang kita ubah laluan melalui Losong ke Bukit Datu dan terus ke persimpangan Semarak di Bukit Tunggal," katanya.
Beliau menjelaskan, perubahan laluan jambatan baru itu dibuat mengikut perancangan masa depan pembangunan Kuala Nerus yang bakal dinaik taraf menjadi daerah baru.
"Lagipun kos jambatan ini lebih rendah, lebih dekat dan tak banyak sangat pengambilan balik tanah.
"Kita minta kajian semula dibuat, kajian reka bentuk dan sebagainya, kita rancang laksanakan pada tahun depan," katanya sambil menambah, ia dijangka siap antara dua hingga tiga tahun .
Pembinaan jambatan itu juga akan dapat mengurangkan kesesakan laluan di Jambatan Sultan Mahmud dari Kuala Nerus ke Bandaraya Kuala Terengganu.
Pada masa ini, terdapat dua jambatan menghubungi Kuala Terengganu dengan kawasan utara bandaraya itu iaitu Jambatan Sultan Mahmud dan Jambatan Manir.
No comments:
Post a Comment